ARAU: Polis sedang menunggu laporan forensik telefon bimbit dan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kereta milik ibu kepada bayi yang dilaporkan meninggal dunia semasa berada di bawah jagaan pengasuh di Taman Sri Wang, di sini, pada 15 April lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihak polis juga masih menunggu laporan daripada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) dan bedah siasat berhubung kes kematian bayi berkenaan.
“Pegawai penyiasat kes berkenaan dalam tindakan untuk lengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Pada 29 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan sepasang suami isteri dari Taman Sri Wang Fasa 1 di sini menuntut pembelaan susulan kematian bayi perempuan mereka berusia lapan bulan ketika berada di bawah jagaan seorang pengasuh pada 15 April lalu.
Aisyawati Isa, 34, bersama suaminya, Mohamad Zaerwafar Che Mat Zaidin, 34, meminta agar siasatan terperinci dijalankan berhubung kematian anak mereka, Aufa Zayyana Mohamad Zaerwafar yang disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital.
Retetan kes berkenaan, sepasang lagi suami isteri, Mohamad Yuzri Yaacob, 35, dan Siti Munirah Ghozali, 35, turut tampil memberi keterangan di IPD Arau memandangkan mereka sebelum ini juga pernah menghantar bayi berada di bawah jagaan pengasuh itu.
Mohamad Yuzri dilaporkan berkata, sepanjang bayinya berada di bawah jagaan pengasuh berkenaan dalam tempoh hampir setahun, pihak terlibat pernah beberapa kali cuai dan mengabaikan anak kedua mereka itu. – UTUSAN










