Bangunan kolej terbiar jadi sekolah Islam

Bangunan kolej terbiar jadi sekolah Islam

PANDANGAN dari udara projek pembinaan SMIDI Hulu Terengganu yang dibangunkan di tapak bekas KIST di Batu 22, Ajil, Kuala Berang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Projek pembangunan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Hulu Terengganu bernilai RM35 juta di tapak bekas Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di Batu 22, Ajil, Kuala Berang, dekat sini dijangka siap pada Julai 2028.

Tapak berkenaan mempunyai sejarah tersendiri apabila menempatkan projek KIST yang dianggarkan bernilai RM50 juta namun gagal beroperasi dan terbengkalai.

Bangunan tersebut dilaporkan tidak digunakan antara tujuh hingga lapan tahun sekitar 2010 sebelum timbul cadangan pada 2022 untuk menempatkan pelajar Kolej al-Quran Terengganu (KQT).

Bagaimanapun, cadangan itu tidak diteruskan berikutan keadaan struktur bangunan yang mengalami kerosakan dan tidak sesuai untuk didiami.

Tapak tersebut juga pernah dibeli oleh pihak tertentu termasuk Tabung Warisan dengan nilai sekitar RM35 juta bagi tujuan pembangunan semula, namun kekangan fizikal menjadi faktor utama ia tidak dapat diaktifkan sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Mohd. Zaini Mohd. Nor berkata, projek yang kini giat dilaksanakan itu melibatkan kawasan seluas 8.9 hektar dan antara usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan Islam.

Katanya, pembangunan tersebut selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera yang memberi penekanan kepada keseimbangan pendidikan akademik dan agama.

“Apabila siap kelak, SMIDI Hulu Terengganu mampu menampung kira-kira 500 pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima dalam suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

“Buat masa ini, seramai 132 pelajar masih menumpang di Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah (perempuan),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata, projek itu turut melibatkan kerja baik pulih bangunan lama KIST dengan kos tambahan RM9 juta bagi memastikan kemudahan sedia ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, kemajuan fizikal projek itu mencapai 42.45 peratus melibatkan pembinaan tiga blok asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, kantin, surau serta satu blok bangunan tambahan.

“Walaupun projek ini sepatutnya siap tahun lalu, ia mengalami kelewatan berikutan beberapa masalah yang dihadapi oleh pihak kontraktor.

“Namun, usaha sedang dipergiat bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan,” ujarnya.

Menurutnya, semua pelajar SMIDI Hulu Terengganu akan dipindahkan ke kampus baharu sebaik sahaja pembinaan siap sepenuhnya.

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan fizikal malah menyediakan sistem pendidikan yang seimbang antara akademik dan pengajian Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×