Bacaan hemoglobin rendah, doktor pelik saya masih boleh berjalan- Shila Amzah - Utusan Malaysia

Bacaan hemoglobin rendah, doktor pelik saya masih boleh berjalan- Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Shila Amzah reda apabila hasrat untuk memiliki keluarga besar tidak kesampaian selepas disahkan sebagai pembawa talasemia.

Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata, bacaan sel darah merah yang rendah menyebabkan dia terpaksa membatalkan impian untuk menambah zuriat selepas dimaklumkan doktor berdepan risiko tinggi sekiranya hamil lagi.

“Doktor kata saya tidak boleh mengandung kali ketiga kerana proses bersalin, sama ada secara normal atau pembedahan, boleh menyebabkan banyak kehilangan darah.

“Jadi, apabila seseorang yang mempunyai masalah kekurangan darah seperti saya berdepan situasi itu, risikonya sangat tinggi. Sebab itu doktor tidak mencadangkan saya untuk hamil lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, juara Anugerah Juara Lagu ke-36 itu berkata, talasemia dikesan selepas bacaan hemoglobinnya menurun secara mendadak ketika hamil anak sulungnya.

“Kebiasaannya ibu mengandung akan memantau bacaan hemoglobin dan bacaan saya pernah turun sehingga enam. Doktor sendiri pelik bagaimana saya masih mampu berjalan seperti biasa.

“Selepas itu saya menjalani pemeriksaan darah dan rupa-rupanya saya pembawa talasemia. Saya hanya mengetahuinya ketika mengandungkan Seth,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shila menerima ketentuan tersebut dengan hati terbuka dan percaya ada hikmah di sebaliknya untuk dia dan suami, Ubai MZ, memberi tumpuan kepada dua cahaya mata mereka.

“Saya reda dan okey sahaja. Dalam keadaan ekonomi sekarang, dua orang anak pun sudah memadai.

“Sudah tentu saya pernah mengimpikan keluarga yang lebih besar kerana lebih meriah, tetapi apabila doktor menjelaskan risiko yang bakal dihadapi, kami terima dengan terbuka.
“Mungkin Allah mahu kami memberi lebih fokus kepada Seth dan Rhea,” ujarnya.

Menurut Shila, suaminya juga bersikap terbuka dan memahami keputusan tersebut demi memastikan kesihatannya berada dalam keadaan baik.

“Suami saya sangat okey dan seorang yang santai. Untuk keputusan besar seperti ini, kami sentiasa berbincang bersama.

“Dia juga selalu cakap kepada saya, ‘Ini badan awak. Apa sahaja yang awak rasa selesa dan terbaik untuk diri awak, saya terima,’” katanya lagi.

Sebelum ini, Shila mendedahkan dia menghidap talasemia akibat faktor genetik yang diwarisi daripada sebelah bapanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN