AS lucut hak pangsapuri mewah dibeli guna dana 1MDB

AS lucut hak pangsapuri mewah dibeli guna dana 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memperoleh perintah pelucuthakan sebuah pangsapuri mewah di New York yang dibeli menggunakan dana diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut DOJ, perintah pelucuthakan itu turut melibatkan hasil sewaan tertentu daripada aset berkenaan.

DOJ berkata, tindakan itu menyelesaikan kes pelucuthakan sivil yang difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Tengah California bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih AS$6 juta membabitkan dana 1MDB.

“Berdasarkan aduan dalam kes tersebut, berbilion dolar dana milik 1MDB didakwa diseleweng antara 2009 hingga 2015 oleh pegawai kanan 1MDB dan sekutu mereka, termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Jutaan dolar daripada dana yang diseleweng itu kemudian digunakan untuk membeli sebuah unit kondominium mewah di New York City bagi manfaat  Catherine Tan May Ling iaitu pembantu peribadi kepada Jho Low.

“Catherine turut didakwa memperoleh keuntungan daripada aset berkenaan dengan menyimpan hasil sewaan kondominium tersebut.

“Di bawah perintah pelucuthakan yang dikeluarkan dalam kes ini, kondominium dan hasil sewaan yang dipegang Tan akan dilucut hak kepada kerajaan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut DOJ, 1MDB diwujudkan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan pembangunan ekonomi negara menerusi kerjasama global dan pelaburan asing.

Namun, dana milik 1MDB serta hasil bon yang diterbitkan untuk dan bagi pihak 1MDB didakwa diseleweng dan dibelanjakan oleh Jho Low serta rakan konspiratornya bagi membeli pelbagai aset mewah.

“Antara aset itu termasuk kediaman dan hartanah mewah di Beverly Hills, California, New York, dan London, selain sebuah kapal layar super sepanjang 300 kaki.

“Dana berkenaan juga didakwa digunakan untuk membeli karya seni oleh Monet dan Van Gogh,” katanya.

Selain itu, DOJ berkata, dana tersebut turut disalurkan ke dalam pelbagai pelaburan perniagaan, termasuk sebuah hotel butik di Beverly Hills dan syarikat penerbitan filem yang menghasilkan filem The Wolf of Wall Street.

“Dana itu juga digunakan untuk membiayai pembangunan semula Park Lane Hotel di Manhattan serta membeli pegangan saham dalam EMI, iaitu pemegang hak muzik persendirian terbesar dunia. 

“Selain itu, dana lain turut didakwa diberikan kepada beberapa pegawai awam dan rakan konspirator,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN