Artis perlu ada nilai eksklusif, bukan bermaksud kena berlagak - Sarimah Ibrahim - Utusan Malaysia

Artis perlu ada nilai eksklusif, bukan bermaksud kena berlagak – Sarimah Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim berpendapat, setiap selebriti seharusnya mempunyai nilai eksklusif dan tidak terlalu kerap menonjolkan diri kepada khalayak demi menjaga profil kerjaya mereka.

Jelas Sarimah, pendekatan itu secara tidak langsung akan membuatkan peminat lebih menghargai dan sentiasa teruja untuk mengetahui perkembangan terbaharu mahupun peribadi seseorang artis.

“Saya rasa artis perlu ada nilai eksklusif untuk membina kepercayaan. Ia merupakan satu bentuk ‘psikologi terbalik’ (reverse psychology) yang mana elemen misteri itu sebenarnya sangat penting.

“Kalau terlalu ramah mesra, orang akan menganggap artis seperti kawan biasa sahaja. Jika sudah rasa seperti kawan, adakah mereka masih mahu membayar tiket filem semata-mata untuk menonton rakannya berlakon?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Sarimah menjelaskan, nilai eksklusif yang dimaksudkan bukanlah bermaksud seseorang artis itu perlu bersikap angkuh atau sombong dengan orang sekeliling.

Tegas beliau, terdapat perbezaan yang nyata antara mengekalkan imej misteri dengan berperangai bongkak.

“Elemen itu (eksklusif) harus ada, tetapi jangan sampai berlagak. Berlagak dan misteri adalah dua perkara berbeza. Ada istilah ‘sombong baik’ dan ‘sombong berlagak’.

“Sombong baik ini contohnya seperti memberitahu secara sopan bahawa dia tidak mahu berkongsi perkara peribadi pada hari tersebut. Namun, sombong berlagak pula adalah mereka yang memandang rendah orang lain. Kita tidak boleh menyamaratakan semua orang dalam bakul yang sama,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sarimah turut memetik contoh figura antarabangsa, Mariah Carey serta barisan seniwati zaman dahulu yang sangat menjaga batas pergaulan mereka untuk mengekalkan aura.

“Kalau seorang superstar itu tidak ada sedikit pun elemen diva, auranya akan terasa kurang. Contohnya Mariah Carey, jika dia tidak mempunyai persona diva tersebut, adakah dia akan menjadi Mariah Carey yang kita kenal hari ini?

“Begitu juga dengan pelakon dan seniwati zaman dahulu. Bukannya mereka sombong, tetapi mereka lebih serius dan menjaga privasi. Selepas tamat acara, mereka terus pulang dan tidak terlalu bergaul. Disebabkan tiada media sosial dan sikap ‘reserved’ itulah aura mereka kekal sehingga kini.

“Bagi saya, istilah yang lebih tepat untuk artis bukanlah sombong, tetapi misteri. Sifat diva itu perlu, tetapi mestilah bertempat,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai dakwaan segelintir artis yang dikatakan sombong di media sosial, Sarimah menyifatkan perkara tersebut sukar ditentukan selagi tidak disaksikan dengan mata kepala sendiri.

“Kita tidak boleh percaya 100 peratus dengan apa yang dibaca atau dilihat secara luaran. Kalau tidak dialami sendiri, sukar untuk kita menghukum.

“Sama seperti menonton filem, kenapa orang mahu menonton? Kerana mereka mahu melihat sendiri. Jadi untuk menghayati dan memahami situasi sebenar, kita perlu melihat dengan mata sendiri,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN