PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) mencatatkan prestasi kewangan tertinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 dengan untung bersih melonjak 10.1 peratus kepada RM826.53 juta berbanding RM750.53 juta pada tahun sebelumnya.
Alliance Bank berkata, lonjakan untung bersih itu didorong oleh peningkatan sebanyak 42 peratus dalam pendapatan bukan faedah, manakala pendapatan faedah bersih turut berkembang 3.1 peratus.
“Hasil bagi keseluruhan tahun kewangan berkenaan turut meningkat 8.65 peratus kepada RM2.47 bilion berbanding RM2.27 bilion sebelum ini.
“Bagi suku keempat pula, untung bersih bank tersebut meningkat 4.33 peratus kepada RM206.04 juta daripada RM197.49 juta, bersandarkan peningkatan hasil sebanyak 5.3 peratus kepada RM593.08 juta,” katanya.
Sehubungan dengan prestasi memberangsangkan itu, Alliance Bank mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 9.74 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan dividen bagi tahun kewangan 2026 sebanyak 19.1 sen sesaham.
Mengenai prospek bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027, kumpulan perbankan itu kekal optimis secara berhati-hati meskipun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran luar yang berterusan.
Katanya, tahun kewangan 2027 akan menjadi tempoh peralihan penting memandangkan kumpulan kini memasuki fasa terakhir di bawah pelaksanaan pelan strategi Acceler8 2027.
“Fokus kami akan mula beralih daripada pengembangan pasaran secara meluas kepada usaha merealisasikan nilai perniagaan, memperkemas kecekapan operasi, serta memantapkan kedudukan kumpulan bagi fasa strategi seterusnya,” katanya.
Dalam tempoh dikaji, jumlah pinjaman kasar Alliance Bank berkembang 7.5 peratus tahun ke tahun, sekali gus mengatasi pertumbuhan purata industri perbankan negara sebanyak 5.4 peratus dipacu oleh sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial, serta pengguna.
Deposit pelanggan pula meningkat 8.8 peratus yang diterajui oleh pertumbuhan simpanan tetap, manakala nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kekal antara yang tertinggi dalam industri pada kadar 37.5 peratus.
Kualiti aset bank juga memaparkan penambahbaikan apabila nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) menyusut kepada 1.73 peratus berbanding 1.83 peratus sebelum ini, sekali gus mencerminkan kedudukan modal dan mudah tunai yang kekal teguh. –UTUSAN










