Akmal tegaskan kemasukan ke IPTA perlu kekal dengan SPM - Utusan Malaysia

Akmal tegaskan kemasukan ke IPTA perlu kekal dengan SPM

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dikekalkan tanpa pengecualian kepada mana-mana pihak termasuk lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tahfiz.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, syarat kemasukan ke IPTA sepatutnya mewajibkan calon memiliki SPM sebagaimana dilaksanakan sebelum ini dan tidak perlu membuka lebih banyak ruang kelonggaran dalam dasar pendidikan negara.

“Kekalkan kemasukan ke IPTA dengan menggunakan SPM sahaja. Tidak kira pelajar UEC ataupun tahfiz, nak masuk IPTA wajib ambil SPM,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta sekolah menengah persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju calon daripada aliran berkenaan yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui Kementerian Pendidikan (KPM) boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.

Muhamad Akmal berkata, ramai pelajar lepasan UEC dan tahfiz sebelum ini mengambil SPM seperti biasa bagi melayakkan diri memasuki IPTA.

“Tidak perlu kita buka lebih banyak ‘flood gate’. Dasar pendidikan negara perlu kita ikuti, bukan ditebuk sana sini.

“Sebelum ini semua kena ada SPM baru boleh masuk. Hari ini hanya perlu lulus Bahasa Melayu dan Sejarah sahaja untuk masuk IPTA,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN