SEREMBAN: Seorang akauntan, Muhammad Faris Johari, 29, telah dipilih dan dilantik oleh satu kumpulan waris adat di Luak Sungei Ujong sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baharu menggantikan Datuk Mubarak Dohak.
Perlantikan itu dilaporkan telah dibuat pada 22 April lalu namun kenyataan media mengenainya hanya dibuat pada hari ini oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu-ibu Soko Klana Hulu dan Waris-waris Klana Hulu.
Menurut Orang Kaya Dato’ Laksamana Shahruzaman Abdul Malek, pemilihan dan pelantikan itu dibuat secara muafakat dalam istiadat kerapatan Telaga Undang mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 dan hukum adat ‘patah tumbuh’ termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungei Ujong.
“Aturan adat menjadikan Dato’ Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Pengumuman itu dibuat walaupun belum ada jaminan Mubarak Dohak telah diberhentikan sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-10.
Sehingga kini, tiga Undang luak yang lain kekal dengan pendirian bahawa Mubarak masih Undang luak berkenaan walaupun Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dilaporkan telah mengesahkan pemecatan beliau pada 20 April lalu.-UTUSAN









