KUALA LUMPUR: Kegembiraan penyanyi dan komposer, Aizat Amdan melancarkan karya terbaharunya Ajar Aku bertukar hiba apabila menerima khabar pemergian abang sulungnya, Amir Amdan, hari ini.
Berita itu dikongsikan sendiri oleh Aizat menerusi satu hantaran ringkas sejurus selepas selesai majlis pelancaran lagu berkenaan.
“Assalamualaikum. Segala duka citanya, abang sulung saya Amir Amdan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir tadi.
“Minta sedekahkan arwah Al-Fatihah dan doakan dipermudahkan segalanya. Maklumat lanjut akan diberitahu dalam masa akan datang,” katanya.
Terdahulu media dimaklumkan Aizat bergegas meninggalkan lokasi majlis selepas tamat sesi pelancaran lagu bertajuk Ajar Aku yang berlangsung di The Campus, Ampang sekitar pukul dua petang tadi.
Single terbaharu itu merupakan naskhah kolaborasi istimewa Aizat bersama kumpulan post-hardcore terkenal, Sekumpulan Orang Gila (SOG).
Difahamkan, Aizat hadir ke sidang media tersebut bagi mempromosikan lagu berkenaan sebelum menerima khabar duka yang mengejutkan itu. -UTUSAN










