Agensi pembiayaan KUSKOP sentiasa digerak turun padang bantu peniaga, usahawan

Agensi pembiayaan KUSKOP sentiasa digerak turun padang bantu peniaga, usahawan

STEVEN Sim Chee Keong (kanan) ketika menghadiri Program Jualan Madani Koperasi (JMK) KUSKOP 2026 sempena Karnival Keluarga Sungai Pinang di Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa menggerakkan keempat-empat agensi pembiayaan di bawahnya iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank serta Bank Rakyat untuk turun padang pada masa ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ia selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu agensi-agensi tersebut lebih proaktif untuk membantu mana-mana peniaga, penjaja serta usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di lapangan.

“Kami selalu turun padang dan beri khidmat nasihat secara bersemuka (dengan peniaga atau usahawan terlibat). Oleh itu, jika ada antara mereka yang berminat untuk mendaftar dengan dokumen lengkap, maka, permohonan boleh dibuat serta-merta.

“Kita tidak tunggu pelanggan datang ke pejabat, tetapi, kita cari pelanggan, usahawan atau peniaga kecil untuk memberikan bantuan kepada mereka,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Program Jualan Madani Koperasi (JMK) KUSKOP 2026 sempena Karnival Keluarga Sungai Pinang di sini, hari ini.

Semalam, Anwar menggesa agensi-agensi kewangan turun padang untuk bertemu golongan peniaga dan usahawan terutamanya mereka yang berdepan kekangan modal agar mendapat penerangan serta bimbingan yang tepat mengenai pembiayaan yang diperlukan.

Mengulas lanjut, Steven berkata, agensi-agensi pembiayaan kredit di bawah KUSKOP juga sentiasa terbuka untuk berunding dengan mana-mana peniaga, penjaja serta usahawan PMKS yang berdepan masalah membuat pembayaran balik pinjaman mereka pada masa ini.

Katanya, dalam hal ini, antara bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan menerusi rundingan itu termasuk pemberian moratorium serta penjadualan semula bayaran balik pinjaman mengikut kes tertentu.

“Kalau ada masalah, memang pintu kita sentiasa terbuka untuk berbincang dengan peminjam-peminjam kita. Sebenarnya, kalau kita lihat dalam satu atau dua tahun ini pun, memang NPL (kadar pinjaman tak berbayar) ada kemajuan atau penambahbaikan. Maksudnya ialah, (peminjam) yang culas (membayar) itu semakin berkurangan. Syukur,” katanya.

Dalam pada itu, Steven berkata, kira-kira RM4 bilion daripada sasaran pembiayaan kerajaan sebanyak RM15 bilion menerusi program ‘PowerUp 10K’ telah disalurkan oleh KUSKOP untuk PMKS setakat April tahun ini.

Katanya, penyaluran dana tersebut merupakan sebahagian daripada petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian berkenaan pada tahun ini yang telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 syarikat dan usahawan di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN