84 peratus aduan rakyat berjaya diselesaikan - Utusan Malaysia

84 peratus aduan rakyat berjaya diselesaikan

SAARANI Mohamad (tengah) menyaksikan sesi penyerahan kunci Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di Parit Buntar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Kerajaan Perak berjaya menyelesaikan sebanyak 84 peratus daripada 460 aduan yang diterima daripada orang ramai sepanjang pelaksanaan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan, yang kini memasuki siri ketiga tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, baki 72 aduan atau 16 peratus masih dalam tindakan lanjut untuk penyelesaian seterusnya.

“Bagi siri ketiga ini, sebanyak 140 aduan baharu telah direkodkan melibatkan pelbagai isu rakyat.

“Secara keseluruhan, sebanyak 460 aduan telah diterima setakat ini, dengan 388 daripadanya berjaya diselesaikan manakala baki 72 aduan lagi sedang dalam tindakan lanjut pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di Pekan Baru, di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata penganjuran Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri Ketiga tahun ini terus menjadi platform penting kepada kerajaan negeri dalam mendekati rakyat dalam menyelesaikan isu secara terus dan berkesan.

“Pada siri kali ini, 77 kaunter perkhidmatan pelanggan dibuka melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri, termasuk lima kaunter bergerak bagi memperluas capaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Saarani turut menyaksikan sesi penyerahan kunci Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian bernilai RM42.5 juta, yang menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha memperkukuh infrastruktur pentadbiran negeri

“Kompleks ini akan berfungsi sebagai pusat sehenti pentadbiran yang moden dan efisien sekali gus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih responsif dan berfokuskan rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN