TAMPIN: Enam pembesar adat yang membentuk majoriti ahli Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan hari ini sepakat menetapkan 5 Jun ini sebagai tarikh baharu Sidang Khas DKU yang sepatutnya diadakan hari ini.
Mereka menyatakan sangat murka dan kecewa atas kegagalan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin mematuhi perintah mereka selaku pemerintah bersama (co-ruler) kerajaan Negeri Sembilan serta ahli DKU untuk menguruskan jemputan ke sidang khas berkenaan hari ini.
Berikutan itu, para pembesar adat tersebut yang terdiri daripada Undang Luak Sungei Ujong yang didakwa sudah dipecat, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid telah bertindak menggantung Raja Norazli sebagai Setiausaha DKU dan akan melantik jawatankuasa khas untuk menguruskan tugas berkenaan.
“Bahawasanya tindakan Raja Norazli adalah semberono, bertentangan dengan aturan adat dan sangat biadab.
“Beliau sesungguhnya tidak lagi layak menjawat jawatan sebagai Setiausaha DKU,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan selepas mengadakan mesyuarat di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin di sini hari ini.
Kesemua mereka hadir dalam mesyuarat tersebut kecuali Mubarak yang menyatakan sokongan terhadap kenyataan tersebut.
Mereka menegaskan bahawa DKU adalah hak mutlak adat ahli-ahli tetap seperti yang termaktub dalam Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 sebagaimana amalan adatnya dan bukan milik seorang individu.
Jelas mereka, segala keputusan yang diambil oleh Setiausaha DKU bagi pihak dewan itu mesti dengan perkenan majoriti ahli dan bukannya merujuk membuta tuli kepada seorang atau dua individu sahaja atau terpengaruh dengan arahan pihak bukan ahli.
“Tiada kuasa veto individu dalam DKU,” tegas mereka.
Untuk rekod, DKU mempunyai lapan ahli terdiri daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong.
Para pembesar adat tersebut turut melahirkan rasa kecewa terhadap Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang gagal bertindak secara neutral dalam krisis adat itu hingga menyebabkan kemelut itu berpanjangan dan semakin parah.
“Kami selaku ahli yang bermajoriti dalam DKU dengan ini secara kebulatan (sebulat suara) memanggil dan menetapkan tarikh baru Sidang Khas DKU pada pukul 9 pagi 5 Jun ini di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin bagi membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan kemelut pentadbiran dan pemerintahan adat di negeri ini.
“Sidang khas ini adalah mustahak demi kepentingan pentadbiran adat khususnya dan kesejahteraan Negeri Sembilan amnya,” kata mereka. – UTUSAN










