3,000 saksikan perbarisan ulang tahun ke-92 TLDM - Utusan Malaysia

3,000 saksikan perbarisan ulang tahun ke-92 TLDM

RAJA Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa merasmikan acara Perarakan Bandar Tentera Laut Lumut sempena ulang tahun ke-92 TLDM di Lumut hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kira-kira 3,000 pengunjung menyaksikan perbarisan anggota pasukan keselamatan negara pada acara Perarakan Bandar Tentera Laut Lumut (Lumut Navy City Parade) sempena ulang tahun ke-92 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md. Nor.

Majlis diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Badan Kesenian TLDM menerusi Tarian Seri Dabus Labu Indera yang melambangkan kesenian tradisi Melayu Perak.

Turut diadakan pameran aset pertahanan maritim negara.

Acara perbarisan dan perarakan melibatkan 21 kontinjen yang terdiri daripada TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan persatuan belia tempatan.

Seorang pengunjung, Akmal Nazmi Kassim, 36, dari Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang teruja untuk menyaksikan kapal-kapal milik TLDM yang dipamerkan.

“Bukan mudah untuk melihat KD Laksamana Hang Nadim, KD Ledang, KD Kinabalu dan KM Gagah.

“Saya turut bercuti sempena Hari Pekerja, jadi banyak masa terluang. Kesempatan ini digunakan membawa keluarga bersama melihat aset maritim ketenteraan secara lebih dekat,” katanya.

Bagi Nur Hamizah Roslan, 38, yang juga dari Kepala Batas berpeluang menyaksikan perasmian tersebut kerana mengunjungi anak saudaranya yang bekerja di Lumut.

“Saya bercuti sehingga Ahad ini. Saya sekeluarga termasuk suami dan tiga anak dapat melihat sendiri acara ini seawal pukul 7 pagi.

“Lagipun jarang berpeluang untuk melihat kapal TLDM lebih dekat termasuk teknologi canggih yang digunakan bagi menjaga keselamatan perairan negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN