PETALING JAYA: Seramai 117 individu dipercayai terlibat dalam jenayah pedofilia ditahan menerusi serbuan di 162 lokasi di seluruh negara sejak 2024 hingga tahun ini dengan 101 daripadanya telah didakwa di mahkamah.
Jumlah itu membuktikan ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian kini berada pada tahap membimbangkan apabila pemangsa dikesan semakin aktif menggunakan media sosial, aplikasi pesanan dan platform permainan video untuk mencari mangsa.
Polis turut menemukan kira-kira 205,000 fail mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak daripada lebih 1.47 juta fail digital yang dirampas sepanjang operasi dijalankan.
Sumber polis yang enggan dikenali berkata, apa yang diketahui masyarakat mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak di internet sebenarnya jauh lebih kecil berbanding realiti sebenar yang berlaku.
“Kes yang orang dengar atau baca hanya apa yang kita nampak di permukaan. Realiti sebenar sangat menakutkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
JERAT DIGITAL
Menurut sumber itu, pelaku kini tidak lagi bergantung kepada laman tradisional untuk mendekati mangsa sebaliknya menggunakan ruang digital yang lebih dekat dengan kehidupan harian kanak-kanak dan remaja.
Katanya, antara platform yang sering digunakan termasuk WhatsApp, WeChat, MiChat, Facebook, Instagram, TikTok dan Bigo selain permainan video seperti Roblox dan Mobile Legends.
“Pemangsa tahu aplikasi ini mudah diakses oleh mangsa. Kebanyakan mereka (pemangsa) mengambil kesempatan terhadap identiti anonim yang ditawarkan platform dalam talian untuk memantau dan memanipulasi kanak-kanak tanpa perlu hadir secara fizikal.
“Menjadi sifat pemangsa untuk bersembunyi. Semakin serius jenayah itu, semakin terperinci cara mereka menyembunyikan diri,” katanya.
AKSES TANPA KAWALAN
Penggunaan internet dan media sosial yang semakin meluas dalam kalangan kanak-kanak turut membuka lebih banyak ruang kepada pemangsa untuk mendekati mangsa.
Berdasarkan laporan Disrupting Harm Malaysia oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), 94 peratus kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun mengakses internet manakala 91 peratus menggunakan media sosial setiap minggu.
Laporan sama turut menganggarkan kira-kira 100,000 kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut mungkin pernah mengalami beberapa bentuk eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian dalam tempoh setahun.
Sumber polis itu berkata, akses terhadap telefon pintar pada usia terlalu muda meningkatkan risiko kanak-kanak menjadi sasaran pemangsa seksual tanpa disedari mereka sendiri.
Katanya, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi untuk menangani jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak tanpa kerjasama masyarakat terutama ibu bapa.
“Semakin awal kanak-kanak mendapat akses kepada telefon, semakin tinggi potensi mereka menjadi mangsa. Apa yang lebih menakutkan ialah mangsa sendiri tidak sedar mereka sedang dieksploitasi.
“Polis hanya membuka kertas siasatan apabila menerima aduan dan laporan. Jika orang ramai tidak membuat laporan, polis tidak akan tahu. Pihak yang sewajarnya melindungi kanak-kanak ialah ibu bapa mereka sendiri,” katanya.
PLATFORM JADI SASARAN
Sementara itu, Pegawai Program Pertubuhan Protect and Save the Children, Mogana Devi Nadesan berkata, platform digital kini memudahkan pemangsa mendapatkan akses kepada kanak-kanak tanpa memerlukan hubungan awal seperti sebelum ini.

Katanya, pelaku semakin mengeksploitasi media sosial, aplikasi pesanan, platform permainan dan komuniti penstriman langsung kerana interaksi dengan individu tidak dikenali kini dianggap perkara biasa.
“Tidak seperti dulu, pelaku kini tidak lagi memerlukan hubungan awal untuk mendapatkan akses kepada kanak-kanak,” katanya.

Aktivis sosial yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye pula menyifatkan internet sebagai ‘medan pemburuan’ yang membolehkan pemangsa mengambil kesempatan terhadap sifat ingin tahu dan emosi kanak-kanak.
“Ramai kanak-kanak tidak menyedari mereka sebenarnya sedang menjadi sasaran sehingga berlaku kemudaratan serius,” katanya.
KAWALAN DIPERKETAT
Dalam perkembangan sama, Malaysia sedang menyediakan langkah keselamatan dalam talian lebih ketat bagi pengguna media sosial berusia bawah 16 tahun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, golongan bawah umur itu akan dihadkan daripada mengurus akaun media sosial secara sendiri selain memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan pemantauan ibu bapa yang lebih kukuh.
Katanya, langkah tersebut bertujuan mengurangkan interaksi memudaratkan dan meminimumkan pendedahan kanak-kanak kepada individu tidak dikenali di internet. – UTUSAN










