PETALING JAYA: Kerajaan dicadang mewujudkan sebuah bank tanah bagi mengusahakan kawasan-kawasan yang terbiar dan pada masa sama membolehkan pemilik memperoleh pulangan.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, banyak ladang menjadi terbiar dan tidak diusahakan kerana pekebun kecil atau pemilik terdiri daripada warga emas serta tidak mempunyai keupayaan termasuk dari segi tenaga.
Beliau berkata, golongan muda pula tidak berminat untuk menjadi pekebun kerana merasakan kerjaya itu tidak memberi mereka pendapatan yang tinggi.
“Tubuhkan satu bank tanah dan cari pelabur-pelabur yang boleh menguruskan tanah tersebut. Sama seperti kita menyimpan duit di dalam bank, apabila tanah itu sudah membuahkan hasil maka pemilik mendapat untung.
“Pelabur bukan sahaja boleh menanam getah tetapi apa-apa produk yang boleh membawa pulangan hasil yang tinggi seperti sawit, sayur dan buah-buahan. Cadangan ini merupakan satu reformasi untuk pekebun kecil,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kerajaan mengumumkan kenaikan kadar bantuan Program Tanam Semula Getah bagi Semenanjung Malaysia daripada RM13,710 sehektar kepada RM20,000 sehektar, iaitu peningkatan sebanyak RM6,290 sehektar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar bantuan itu turut dinaikkan bagi negeri Sabah iaitu daripada RM14,955 sehektar kepada RM23,000 sehektar, iaitu peningkatan sebanyak RM8,045 sehektar.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kadar bantuan negeri Sarawak pula telah diumumkan pada bulan lalu dengan kadar baharu RM23,000 sehektar berbanding kadar lama RM14,805.
Mengulas mengenai kadar bantuan itu, Adzmi berkata, beliau menyambut baik kenaikan tersebut dan menyifatkan ia akan membantu penoreh yang mahu membuat penanaman semula getah.
“Untuk yang minat untuk menanam getah, bantuan itu kemungkinan menguntungkan mereka tetapi rata-rata pekebun kecil dengan keadaan harga getah yang tidak menentu, umur sudah tua dan tiada pelapis yang berminat, jadi mereka rasa sukar,” katanya. -UTUSAN









