KUALA KRAI: Selepas tiga hari bertarung nyawa, seorang warga emas menghembuskan nafas terakhir selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 64, Jalan Kota Bharu–Gua Musang berhampiran simpang tiga Pahi, dekat sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian pukul 10.38 malam itu, mangsa berusia 65 tahun mengalami kecederaan parah di kepala selepas dirempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang dipercayai hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, susulan kejadian itu mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1 petang semalam semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang. Sebaik sahaja tiba di lokasi, sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar mangsa hingga menyebabkannya tercampak ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mazlan berkata, pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri selepas kejadian dan jenis serta nombor pendaftarannya belum dikenal pasti.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan terbabit yang hilang kawalan sehingga bertembung dengan motosikal mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN










