PUTRAJAYA: Semua usahawan di bawah inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diseru agar menetapkan sasaran lebih tinggi dalam meningkatkan jualan mereka dan meneroka inovasi dalam produk dan perkhidmatan masing-masing.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau juga mahu melihat lebih ramai usahawan NADI yang berani meneroka pasaran digital, memperkukuh jenama serta meningkatkan pendapatan keluarga serta komuniti.
“Saya percaya dengan kesungguhan dan bimbingan yang betul, usahawan komuniti mampu melangkah lebih jauh dalam ekonomi digital negara.
“Saya harap inisiatif seperti NADI Usahawan @Shopee ini dapat terus diperkukuh dan diperluaskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Nadi Usahawan @ Shopee di sini hari ini.
NADI merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).
Sejak diperkenalkan pada tahun 2024, program NADI Usahawan telah memanfaatkan lebih 10,000 peserta di seluruh negara melalui bimbingan berstruktur dan sokongan yang berterusan.
Menurut Fahmi, NADI memainkan peranan penting sebagai platform komuniti, bukan sekadar menyediakan akses internet, tetapi juga menjadi ruang pembelajaran, pemerkasaan dan pembangunan kapasiti masyarakat.
“Apabila kemudahan ini digandingkan dengan kekuatan pemain industri seperti Shopee, peluang yang terhasil menjadi lebih praktikal dan bertepatan dengan keperluan sebenar rakyat,” katanya. – UTUSAN










