LOS ANGELES: Jemputan ke majlis perkahwinan penyanyi popular, Taylor Swift bersama bintang NFL, Travis Kelce dilaporkan sudah mula diedarkan kepada ahli keluarga serta tetamu terdekat pasangan berkenaan.
Menurut sumber, jemputan tersebut turut mendedahkan bahawa majlis perkahwinan mereka dijadualkan berlangsung di New York pada 3 Julai 2026.
Bagaimanapun, tarikh dan lokasi itu dilihat berbeza daripada laporan terdahulu yang menyatakan pasangan tersebut bakal melangsungkan perkahwinan di Rhode Island pada 13 Jun tahun yang sama.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Swift dan Kelce sedang mempertimbangkan lokasi alternatif bagi membolehkan lebih ramai tetamu menghadiri majlis berkenaan.
Sekiranya New York City menjadi pilihan, pasangan itu akan menyertai senarai selebriti terkenal yang pernah berkahwin di kota tersebut, antaranya Beyoncé dan Jay-Z, selain Hailey dan Justin Bieber serta Mariah Carey dan Tommy Mottola.
Menariknya, tarikh perkahwinan itu jatuh sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 4 Julai, yang juga merupakan antara perayaan kegemaran Swift. Penyanyi itu sebelum ini sering menganjurkan parti khas bersama rakan rapatnya setiap kali sambutan tersebut.
Dalam pada itu, pasangan berkenaan dilaporkan mengambil pendekatan santai dalam membuat persiapan perkahwinan mereka dengan merancang segala-galanya secara bersama.
“Dalam perancangan perkahwinan ini, tiada apa yang dilakukan secara tergesa-gesa atau sebelah pihak. Mereka berbincang dan menikmati setiap proses secara semula jadi,” kata sumber. – UTUSAN










