LABUAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui No 11 Skuadron melakar sejarah baharu dalam pemodenan TUDM apabila ujian penerbangan pertama pesawat tanpa pemandu ANKA-THS berjaya dilaksanakan di Pangkalan Udara Labuan petang semalam.
Ujian penerbangan selama tiga jam tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan sebelum penyerahan aset baharu kepada pihak TUDM.
Dalam satu kenyataan, TUDM berkata, kejayaan penerbangan sulung pesawat ANKA-THS adalah hasil kerjasama dan koordinasi yang jitu antara Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU), Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2), MTU-Perancangan & Pembangunan, Pangkalan Udara Labuan serta agensi lain seperti Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kaji Cuaca Malaysia (MET Malaysia) .
Sistem pesawat ANKA-THS yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) bakal memperkukuh keupayaan Intelligence, Surveillance, Target Acquisition and Reconnaissance (ISTAR) TUDM khususnya dalam melaksanakan pemantauan strategik di Wilayah Timur serta kawasan kepentingan negara seperti Laut China Selatan.
Pesawat ANKA-THS mampu melaksanakan pemantauan secara tepat dalam pelbagai keadaan cuaca, siang dan malam dengan keupayaan durasi penerbangan melebihi 20 jam.
Pesawat ini merupakan sebahagian daripada Fasa 1 Pelan Perolehan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta selari dengan pelan pembangunan keupayaan TUDM melalui erolehan aset baharu ini juga secara langsung akan meningkatkan keupayaan TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan operasi pemantauan strategik, pengawasan maritim serta pengumpulan maklumat perisikan, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan dan kedaulatan negara. UTUSAN










