Nahas Hornet timbul persoalan kemampuan pesawat TUDM

(ANALISIS) Nahas Hornet timbul persoalan kemampuan pesawat TUDM

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris meninjau bangkai pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang musnah sepenuhnya selepas terbakar dan terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, Khamis lalu.. – ihsan TUDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Insiden pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbakar ketika berlepas di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan malam Khamis lalu mencetuskan kebimbangan tentang tahap keselamatan operasi pesawat tempur negara tersebut.

Sejak mula beroperasi pada 1997, pesawat F/A-18D Hornet menjadi tulang belakang keupayaan serangan taktikal TUDM dan sudah membuktikan kehandalannya dalam pelbagai latihan dan operasi bersama negara-negara sahabat.

Pada tahun ini, usia pesawat ini sudah mencecah 28 tahun, satu tempoh yang menandakan fasa kritikal bagi mana-mana aset udara khususnya dari segi keupayaan struktur, sistem avionik dan kebolehpercayaan operasi.

Persoalan utama kini, mampukah pesawat ini terus digunakan sehingga usia 40 tahun? Jawapannya bergantung kepada tahap penyelenggaraan, program naik taraf dan strategi pengurusan risiko yang dilaksanakan oleh TUDM dan Kementerian Pertahanan.

Secara teknikal, pesawat F/A-18D direka untuk menampung sekitar 6,000 hingga 8,000 jam penerbangan, namun faktor seperti intensiti operasi, iklim tropika, dan ketersediaan alat ganti turut mempengaruhi jangka hayat sebenar.

Risiko utama penggunaan jangka panjang termasuk keletihan logam, kerosakan sistem hidraulik, dan kemungkinan kegagalan enjin ketika fasa kritikal seperti berlepas. Insiden kebakaran atau kerosakan struktur bukanlah mustahil jika penyelenggaraan tidak dilakukan secara menyeluruh.

Kos penyelenggaraan juga meningkat secara eksponen apabila pesawat melepasi usia 30 tahun selain komponen asal sukar diperoleh manakala integrasi teknologi baharu memerlukan pelaburan besar dan kepakaran khusus.

Namun begitu TUDM sudah mengambil langkah proaktif dengan merancang pembelian pesawat F/A-18D terpakai dari Kuwait yang masih rendah jam penerbangan dan sudah dinaik taraf, menjadikannya aset yang sesuai untuk memperluas jangka hayat armada sedia ada.

Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah membolehkan TUDM mengekalkan keupayaan serangan taktikal sehingga tahun 2040 tanpa perlu menunggu ketibaan pesawat generasi baharu seperti F/A-XX atau platform tempur tanpa pemandu.

Dalam konteks geopolitik serantau, kehadiran pesawat F/A-18D yang beroperasi secara optimum memberikan Malaysia kelebihan dari segi pertahanan maritim, kawalan ruang udara, dan kerjasama ketenteraan dengan negara-negara ASEAN serta rakan strategik seperti Australia dan Amerika Syarikat.

Namun, Malaysia perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dalam perangkap aset usang kerana penggunaan pesawat melebihi jangka hayat tanpa pelan penggantian yang jelas boleh menjejaskan kredibiliti dan kesiapsiagaan TUDM.

Kerajaan wajar mempertimbangkan pelaburan dalam program penggantian jangka panjang, termasuk kajian terhadap pesawat generasi kelima atau sistem tempur berasaskan dron yang lebih fleksibel dan kos efektif.

Selain itu, pembangunan industri aeroangkasa tempatan perlu diperkasa agar Malaysia tidak terus bergantung kepada pembekal luar. Ini termasuk latihan jurutera, pembangunan sistem sokongan, dan kerjasama dengan syarikat antarabangsa.

Rakyat Malaysia juga perlu memahami bahawa pertahanan bukan sekadar soal senjata, tetapi soal kedaulatan, keselamatan dan maruah negara.

Ketika ini TUDM mempunyai lapan pesawat F/A-18D Hornet yang dibuat perolehan pada 1995 dan mula beroperasi pada 1997.

Pada Jun lalu, Panglima Tentera Udara ketika itu, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan dilaporkan berkata, Amerika Syarikat (AS) selaku pembuat asal F/A-18C/D Hornet sudah pun memberikan kebenaran bagi membolehkan Malaysia mengadakan perbincangan lanjut dan mendalam berhubung perolehan lebih 30 pesawat pejuang terpakai milik Tentera Udara Kuwait (KAF). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN