Tuntut RM100,000, gugur saman sivil - Adira Suhaimi - Utusan Malaysia

Tuntut RM100,000, gugur saman sivil – Adira Suhaimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Adira Suhaimi kecewa terhadap tindakan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu meletakkan syarat bagi menyelesaikan kes rujuk membabitkan mereka.

Adira, 35, memaklumkan bekas suaminya itu meminta wang berjumlah RM100,000 selain menuntut penguguran saman sivil berkenaan tuntutan hutang sekiranya mahu kes rujuk itu dibatalkan.

Menurut Adira, syarat yang dikemukakan itu sangat tidak wajar memandangkan dia bekerja keras demi menyara keluarga.

“Saya kecewa atas tuntutan yang Datuk Red kemukakan. Dua tiga hari sebelum ini, dia telah menuntut, yang mana dia boleh mengaku depan hakim yang rujuk ini tidak berlaku, tapi kena ikut syarat dia.

“Syaratnya adalah gugurkan saman sivil saya terhadap dia iaitu berkaitan tuntutan hutang. Dan dia nak saya bagi dia RM100,000 untuk batalkan kes rujuk ini.

“Itu antara syarat yang dia bagi kepada saya. Tapi malangnya, saya tidak bersetuju kerana saya berkerja pagi petang siang malam, ada tanggungan dekat rumah dan saya juga tidak pernah menyusahkan dia.

“Tergamak dia. Sanggup bagi tuntutan macam itu terhadap bekas isteri. Tuntutan itu memang tak patut,” katanya.

Adira mendedahkan perkara itu selepas perbicaraan kes rujuk mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Selangor petang tadi.

Menjelaskan mengenai saman sivil tersebut, Adira memaklumkan perkara itu membabitkan wang pinjaman yang diberikan kepada Datuk Red selepas mereka bercerai.

Katanya, jumlah itu mencecah ratusan ribu dan dia menuntut haknya dipulangkan semula mengikut undang-undang.

“Untuk saman sivil berkenaan dengan tuntutan hutang itu, saya sudah failkan tahun lepas. Tuntutan hutang ini sebenarnya adalah duit pinjaman dia selepas bercerai.

“Saya minta dia bayar balik. Bukan sikit, ratusan ribu. Dia masih dalam prosiding sebab saya rasa Datuk Red muflis, jadi ada langkah yang kami perlu lalui untuk buat proses ni berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Adira memilih mengunci mulut dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Saya tidak minta apa-apa sampai sekarang dan saya tak pernah mengeluarkan satu bunyi pun.

“Kali ini bagilah saya bercakap sekali. Takkan saya nak diam apabila orang pijak-pijak macam itu kan. Bagilah saya bercakap sekali. Tapi benda yang sepatutnya saya cakap, yang perlu saja saya cakap,” tambahnya.

Bercerita mengenai sebutan kes pada Khamis, Adira meluahkan rasa kecewa kerana ia tidak dapat diselesaikan dengan segera.

Untuk info, kes tersebut ditangguhkan kepada 25 Jun 2026 ini bagi mendengar kenyataan daripada defanden iaitu Adira.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN