PETALING JAYA: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah khususnya akibat konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian tenaga dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah.
Katanya, fokus kerajaan buat masa ini adalah untuk memastikan rakyat tidak terbeban dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
“Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kali ke-17.
Menurutnya, NACCOL akan bersidang secara berkala sepanjang tempoh ini bagi memastikan setiap isu ditangani dengan pantas dan berkesan.
Dalam pada itu, ujar beliau, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion bagi tahun 2026 untuk bantuan sosial, subsidi serta insentif peningkatan pendapatan rakyat.
“Lebih 13.7 juta rakyat kini menerima manfaat melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Program Jualan Rahmah.
“Ini merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan akan terus berdiri bersama rakyat dalam memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara walau dalam apa jua keadaan.- UTUSAN









