Tiga syarikat minyak masak didenda RM264,000 - Utusan Malaysia

Tiga syarikat minyak masak didenda RM264,000

TIGA syarikat didenda RM264,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh kerana memberikan maklumat palsu tentang penjualan minyak masak paket bersubsidi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga syarikat pembungkus minyak masak didenda keseluruhan RM264,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 24 pertuduhan memberi maklumat palsu berkaitan penjualan minyak masak peket bersubsidi, dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Syarikat Usaha Prasarana Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Ooi Yien Wei, 29; Syarikat Arcadia Odyssey Sdn. Bhd. (Kan Shy Ling, 32) dan Syarikat Aksi Sentral Sdn. Bhd. (Kan Cheng Hui, 31) membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Pada prosiding itu, Hakim Ainul Shahrin memutuskan setiap syarikat dikenakan hukuman denda RM11,000 untuk setiap lapan pertuduhan yang dihadapi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM88,000.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan agar semua wang hasil jualan rampasan minyak masak berjumlah RM101,807.30 dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Pada masa sama, mahkamah membenarkan barangan rampasan kecuali dokumen diserah semula kepada syarikat berkenaan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga syarikat sebagai pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak didapati dengan pengetahuan telah memberikan maklumat palsu ketika mengemukakan maklumat dalam borang Arahan Mengemukakan Maklumat di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu dilakukan di premis masing-masing di Ipoh dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 4.30 petang pada 9 Ogos 2024.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga syarikat didakwa di bawah Subseksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(2) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Nazreen Zabarudin bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Muhamad Hanif Abd Azis.

Ketiga-tiga syarikat pula diwakili peguam bela, Mohd. Khairul Fairuz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN