Tiada kompromi seleweng dana NGO 

Tiada kompromi seleweng dana NGO 

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan kewangan membabitkan pertubuhan berdaftar di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad berkata, setiap pertubuhan wajib mematuhi undang-undang ditetapkan termasuk dalam aspek pengurusan kewangan dan pelaporan tahunan.

“JPPM akan terus mempergiat pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam tadbir urus pertubuhan sentiasa terpelihara.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyeleweng atau mengemukakan maklumat tidak tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zulfikar berkata, tindakan itu jelas melanggar prinsip tadbir urus baik serta boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap pertubuhan.

“Perbuatan menyalahgunakan dana pertubuhan untuk kepentingan peribadi merupakan kesalahan serius yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencemarkan reputasi sektor pertubuhan secara keseluruhan,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengemukakan Penyata Kewangan Tahunan yang mengelirukan.

Tertuduh, wanita tempatan berusia 57 tahun, didakwa menyembunyikan perbelanjaan sebenar pertubuhan berkenaan dalam dokumen tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat JPPM, Aras 9, Blok Setia Perkasa 7, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kira-kira pukul 12 tengah hari pada 25 Mac lalu.

Siasatan oleh Bahagian Penguatkuasaan JPPM mendapati tertuduh dipercayai menganjurkan sebuah ekspo pendidikan pada tahun 2024 menggunakan nama pertubuhan berkenaan, namun keuntungan yang diperoleh dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 54(a)(i) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi, manakala siasatan dijalankan oleh pegawai penyiasat, Inspektor S. Sivalingam.

Majistret, Ezrene Zakariah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN