SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuka tender bagi kerja-kerja menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, Sabah pada awal bulan hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kerja-kerja tersebut akan mula dilaksanakan selepas kontraktor dilantik bagi memastikan murid dapat kembali belajar dalam keadaan selamat dan kondusif.
Menurutnya, KPM telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta pada awal tahun ini bagi membaik pulih blok bangunan yang didapati uzur dan tidak selamat digunakan di sekolah itu.
“Blok bangunan yang sebelum ini digunakan sebagai bilik darjah di sekolah tersebut didapati telah uzur dan tidak dapat digunakan.
“KPM cakna berkenaan isu yang dihadapi dan kami mahu memastikan murid dapat kembali belajar dalam keadaan selamat dan kondusif secepat mungkin,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Gerakan Massa #TerimaKasihCikgu Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Kah Woh berkata, pihak kementerian akan memastikan projek menaik taraf blok bangunan tersebut dilaksanakan secepat mungkin.
Terdahulu KPM dalam kenyataan memaklumkan, kerosakan infrasruktur di SK Balaban Jaya adalah berpunca daripada pergerakan tanah dan cerun.
Menurutnya, beberapa sesi libat urus telah diadakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bersama pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Sebagai langkah segera, murid akan dipindahkan ke SK Pekan Beluran dan pengangkutan turut disediakan bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas serta tidak membebankan ibu bapa,” katanya.
Isu berkenaan turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan KPM dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri mengambil tindakan segera berhubung isu kerosakan infrastruktur di sekolah terbabit.
Katanya, perkara tersebut amat memberi kesan dan memerlukan penyelesaian segera demi memastikan kebajikan serta keselesaan murid sentiasa terpelihara.
“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada KPM dan ICU untuk penyelesaian segera. Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama, dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, media melaporkan isu murid-murid SK Balaban Jaya, Beluran, Sabah terpaksa mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di khemah dan koridor masjid berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun. – UTUSAN










