Tekong darat lolos, MPV bawa 8 PATI terbalik

Tekong darat lolos, MPV bawa 8 PATI terbalik

KEADAAN Nissan Grand Livina terbalik selepas terbabas di Jalan Alor Jawi, Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dipercayai tekong darat melarikan diri selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) membawa lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) terlibat kemalangan di Kampung Alor Jawi, Kota Kuala Muda, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi, MPV jenis Nissan Grand Livina itu dijumpai dalam keadaan terbalik, manakala dua lelaki warga asing dipercayai daripada etnik Rohingya mengalami kecederaan.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan, manakala enam lagi PATI terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita yang tidak cedera kini di bawah pengawasan polis.

Menurut saksi kejadian yang enggan dikenali, ketika kejadian dia sedang menunggang motosikal dan dalam perjalanan ke pasar di Kota Kuala Muda untuk membeli ikan.

“Semasa melalui jalan itu, sebuah kereta berwarna putih dipandu laju sebelum terbabas dan terbalik ke kawasan sawah di situ. Saya bersama beberapa pengguna jalan raya lain kemudian ternampak beberapa lelaki dan wanita keluar dari kenderaan berkenaan.

“Ada antara mereka yang cedera, saya terus menghubungi Balai Polis Tikam Batu untuk memaklumkan kejadian itu dan pada masa sama membantu memberikan rawatan awal kepada mangsa terlibat yang tidak memahami bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas lanjut kerana masih menjalankan siasatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN