Pegawai imigresen didakwa terima suapan, lepaskan warga asing di KLIA

Pegawai imigresen didakwa terima suapan, lepaskan warga asing di KLIA

PEGAWAI Imigresen, Mohd. Rahmat Mat Yusoff ketika hadir bagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,100 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan rasuah berjumlah RM5,100, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Rahmat Mat Yusoff, 47, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai pegawai Imigresen yang bertugas di Ibu Pejabat JIM didakwa menerima suapan secara pemindahan dalam talian menerusi tujuh transaksi berjumlah RM5,100 daripada seorang lelaki di sebuah bank di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Suapan tersebut diberikan sebagai dorongan kepadanya yang kini digantung tugas bagi melepaskan warga asing daripada pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 yang dilakukan oleh jabatan itu di antara 28 Jun dan 16 Ogos 2024.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan maksimum denda RM100,000 atau penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Haeeb mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia beserta syarat tambahan iaitu lapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali, tidak mengganggu saksi-saksi perbicaraan dan menyerahkan pasport untuk disimpan oleh mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam bela, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud mewakili Mohd. Rahmat tidak membantah syarat tambahan namun memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan RM5,000 atas alasan isteri tertuduh merupakan suri rumah selain mempunyai tanggungan tiga orang anak.

“Tertuduh sudah berkhidmat dengan Imigresen sejak 2000, selama 25 tahun. Saya mohon satu jumlah jaminan sekitar RM5,000, sesuai untuk memastikan kehadiran. Tiada bantahan terhadap permohonan syarat-syarat tambahan,” katanya.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan semula bagi serahan dokumen pada 27 Februari depan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN