HARGA minyak meningkat menghampiri harga AS$120 setong, hampir sekali ganda berbanding sebelum krisis Asia Barat yang bermula lebih sebulan lalu.
Peningkatan harga minyak dunia disebabkan peningkatan risiko bekalan yang melalui Selat Hormuz. Selat itu yang ditutup berikutan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang bermula pada akhir Februari telah menjejaskan bekalan minyak ke seluruh dunia.
Selat itu laluan penting kepada bekalan minyak dunia. Ia menyalurkan 20 peratus bekalan minyak dan bahan petroleum dunia.
Malah lebih 20 peratus gas cecair asli melalui Selat Hormuz untuk dihantar ke pasaran di seluruh dunia. Penganalisis menganggarkan kira-kira 20 juta tong bahan petroleum melalui laluan penting itu setiap hari dan sebarang gangguan pasti memberi kesan besar kepada negara pengguna.
KENAPA HARGA MINYAK NAIK?
Harga minyak sangat sensitif kepada perkembangan geopolitik. Apa yang berlaku di Asia Barat ketika ini mengancam keseluruhan sistem yang mempunyai hubung kait rapat yang kompleks dan berkait di seluruh dunia.
Daripada pengeluaran dan penghantaran kepada insurans, penapisan sehingga produk akhir kepada pengguna. Penutupan Selat Hormuz menyebabkan negara yang bergantung kepada bekalan dari rantau itu berhadapan dengan kekurangan bekalan.
Pengurangan bekalan memaksa banyak negara mencari sumber bekalan baru yang bersesuaian dengan loji penapisan di negara masing-masing. Setiap loji juga direka untuk pemprosesan minyak berdasarkan jenis dan keperluan di setiap negara.
Kos penghantaran dan insurans yang meningkat, meningkatkan lagi tekanan terhadap kos. Semua faktor ini termasuk perbezaan yang ketara antara pengeluaran dan permintaan menyebabkan harga minyak melonjak menghampiri AS$120 setong.
Seorang penganalisis berkata, selain ketidaktentuan geopolitik, minyak adalah satu komoditi yang diniagakan secara global dan mempunyai rangkaian dan ekosistem kompleks yang saling berhubungan antara satu sama lain di seluruh dunia.
Katanya, ia satu rangkaian yang kompleks merangkumi pengeluaran, penghantaran, insurans, pemprosesan, permintaan dan kemudahan logistik.
“Sebarang kejadian dan gangguan membabitkan satu rantau akan menyebabkan kesan yang langsung di seluruh dunia. Ketegangan geopolitik ketika ini di Asia Barat menyebabkan semua peringkat dalam hubung kait komplek ini merasai kesannya,” katanya sambil menegaskan Malaysia adalah sebahagian daripada rangkaian kompleks pengeluaran dan pemprosesan global minyak.
KEROSAKAN KEPADA INDUSTRI MINYAK ADALAH REALITI
Gencatan senjata selama dua minggu antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran memberi sedikit kelegaan tetapi kesan sengketa selama lebih 40 hari itu telah memusnahkan banyak infrastruktur berkaitan minyak.
Penganalisis dari Institut Franklin Templeton Stephen Downer dalam laporannya berkata, “The damage is already done (kerosakan sudah berlaku).”
“Infrastruktur tenaga merentas Asia Barat telah diserang dan untuk mengembalikan kepada pengeluaran asal sepenuhnya akan mengambil masa. Untuk bekalan kembali normal tidak akan berlaku secepat mungkin,” katanya sambil menambah harga minyak, gas dan baja tidak jatuh ke paras seperti sebelum konflik dalam tempoh terdekat.
Katanya lagi, Selat Hormuz adalah penentu kepada keadaan semasa.
“Penentu yang kritikal bukan gencatan senjata tetapi adalah laluan pelayaran, kos insurans dan penghantaran sebenar menjadi normal,” kata Downer.
BAGAIMANA MALAYSIA TERKESAN?
Malaysia tidak terkecuali daripada merasai kesan kepada gangguan rantaian global industri minyak dan gas. Malaysia terpaksa mencari sumber bekalan lain berikutan keperluan dalam negara mengatasi pengeluaran.
Menurut seorang pemerhati, terdapat salah faham mengenai anggapan kenapa Malaysia sebagai pengeluaran minyak turut merasai kesan konflik di Asia Barat. Perangkaan menunjukkan Malaysia menghasilkan sekitar 700 ribu tong minyak sehari antara 1990an sehingga awal 2000.
Namun jumlah itu telah merosot kepada sekitar 350 ribu tong sehari manakala kapasiti penapisan negara masih memerlukan sekitar 700 ribu tong sehari.
Permintaan domestik minyak di Malaysia diunjurkan antara 700,000 hingga lebih 900,000 tong sehari manakala pengeluaran domestik dianggarkan sekitar 350,000. Ini minyak yang dikeluarkan negara hanya merangkumi 50 peratus daripada keperluan harian Malaysia.
Malaysia harus mengimport kira-kira 50 peratus keperluan minyak negara.
TANGGUNGJAWAB BERSAMA MENANGANI KESAN HARGA MINYAK
Semua negara terkesan dengan kenaikan harga minyak. Ia bukan masalah Malaysia saja. Semua kerajaan sedang berusaha menangani masalah ini.
Di Korea Selatan, kerajaannya melaksanakan sistem mengehadkan penggunaan kenderaan berdasarkan nombor plat. Filipina, Pakistan dan Sri Lanka mengurangkan hari kerja kepada empat hari atau memanjangkan cuti umum untuk mengurangkan penggunaan minyak.
Di Thailand, cadangan menaikkan suhu penghawa dingin kepada 27°C untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan memakai kemeja-t lengan pendek.
Kerajaan Malaysia sudah mengarahkan kerja dari rumah kepada sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan dan mengurangkan suhu kepada 24°C.
Penjimatan penggunaan minyak dijangka mencapai ratusan juta ringgit. Di sebalik konflik yang sedang berlaku, krisis ini sebenarnya membuktikan betapa pentingnya peranan PETRONAS sebagai syarikat minyak dan gas nasional dalam memantau serta memastikan bekalan minyak negara.
Dalam konteks ini, PETRONAS bukan sekadar pemain industri, tetapi memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kelangsungan nadi ekonomi negara terus berjalan dengan lancar tanpa gangguan yang ketara.
Tidak dinafikan kestabilan bekalan minyak di Malaysia disebabkan rekod cemerlang PETRONAS dan menjalin hubungan yang kukuh yang berpanjangan dengan negara pengeluar di seluruh dunia.
Krisis minyak ini memerlukan kerjasama semua peringkat dan bukan satu pihak semata-mata. Tiada satu pihak atau kerajaan dapat menyelesaikan krisis harga minyak.
Semua pihak harus terbabit dalam mengurangkan penggunaan minyak supaya tekanan kepada permintaan dapat dikurangkan. Pengurangan penggunaan akan menstabilkan permintaan.
Apabila permintaan stabil, harga akan dapat dikekalkan stabil dan bekalan berpanjangan akan terjamin serta mengelak krisis bekalan yang lebih buruk. – UTUSAN










