Tangguh PRN Johor, Melaka pandangan peribadi, bukan pendirian BN

Tangguh PRN Johor, Melaka pandangan peribadi, bukan pendirian BN

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung cadangan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang kenyataan berkaitan keputusan pilihan raya perlu dilihat sebagai pendirian individu sekiranya tidak diputuskan secara bersama oleh kepimpinan parti.

“Itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian UMNO ataupun Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Maslan dilaporkan mencadangkan supaya PRN Johor dan Melaka yang dijangka berlangsung tahun ini ditangguhkan berikutan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN akan terus menggunakan formula kebersamaan melibatkan parti komponen dan Friends of BN bagi menghadapi PRN serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, pendekatan itu akan dikekalkan dengan beberapa penyesuaian termasuk kemungkinan menambah jumlah kerusi untuk ditandingi rakan dalam Friends of BN.

“Rakan-rakan Friends of BN sebelum ini pernah diberikan kerusi untuk bertanding dan saya yakin bagi PRN serta PRU akan datang khususnya PRU, kita akan menggunakan formula yang sama.

“Mungkin selepas penelitian oleh Setiausaha Agung BN, kita akan membuat penyesuaian atau menambah kerusi yang sesuai untuk diperuntukkan kepada rakan dalam BN termasuk Friends of BN.

“Ini bagi memastikan semangat kebersamaan yang dibina selama ini dapat diterjemahkan melalui agihan kerusi yang bersesuaian,” katanya.

Tambah beliau, UMNO dan BN menyedari sokongan daripada ahli parti komponen sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kemenangan dalam PRN dan PRU akan datang.

“Saya telah menyeru agar jentera parti mula menggerakkan usaha untuk menarik sokongan pengundi di luar kalangan ahli parti komponen supaya bersama menyokong calon BN.

“Sama ada PRN atau PRU diadakan dalam masa terdekat bukan isu utama, sebaliknya gerak kerja perlu dilaksanakan dari sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN