kelapa

Tanah terbiar jana hasil menerusi tanaman semula kelapa

ABD. Rahim Jazuli menunjukkan pokok kelapa yang sudah berbuah di ladang Program Bantuan Tanaman Semula Kelapa di Bagan Datuk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Tanah yang sebelum ini terbiar kini berjaya menjana hasil menerusi pelaksanaan Program Bantuan Tanaman Semula Kelapa di daerah ini.

Seorang peserta program, Abd. Rahim Jazuli, 47, mengusahakan tanaman semula kelapa di tanah yang dipajak daripada penduduk setempat seluas 25 ekar di Kampung Parit 8 Timur, Rungkup Kecil, Jalan Pasang Api di sini.

Menurutnya, program itu dilaksanakan pada tahun 2023 menerusi bantuan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Jabatan Pertanian melibatkan penanaman kira-kira 5,000 pokok kelapa yang kini sudah mula mengeluarkan hasil.

“Sejak peringkat awal saya menerima bantuan daripada kedua-dua agensi itu termasuk kerja pembersihan dan penolakan tanah, pemasangan pagar elektrik, bekalan anak benih serta baja.

“Bantuan yang diterima sangat membantu untuk saya mengusahakan tanaman semula kelapa, sekali gus membangunkan tanah terbiar yang tidak diusahakan sebelum ini,” katanya.

Abd. Rahim yang merupakan antara peserta terawal projek berkenaan di daerah ini berkata, program itu memberi manfaat besar kepada penduduk kerana tanah yang sebelum ini dipenuhi semak kini mampu menjana pendapatan.

Katanya, kebanyakan penduduk kampung mempunyai tanah, namun tidak mempunyai modal serta kepakaran untuk membangunkannya.

“Justeru, saya mengambil inisiatif mengusahakan tanah mereka dengan tanaman kelapa menerusi pembahagian hasil iaitu 70 peratus kepada saya dan 30 peratus kepada tuan tanah.

“Saya berharap program ini dapat menghidupkan semula industri kelapa di Bagan Datuk, selain menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, Abd. Rahim menghargai sokongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk terhadap program tersebut.

“Beliau memberi keyakinan bahawa tanaman kelapa mampu memberikan pulangan dan tidak merugikan, sekali gus menjadi suntikan semangat kepada kami untuk terus mengusahakannya,” katanya.

Bantuan Perak SADC itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Bagan Datuk iaitu antara tumpuan utama ialah pertanian, perikanan dan penternakan.

Ia juga menepati Flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan Flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (1 Keluarga 1 Usahawan) hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN