RUU had tempoh jawatan tidak babitkan menteri besar, ketua menteri

RUU had tempoh jawatan tidak babitkan menteri besar, ketua menteri

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri hanya terpakai di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan kedudukan jawatan menteri besar dan ketua menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU itu antara langkah penting dalam agenda reformasi institusi yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan.

“Langkah ini sangat penting, tetapi ia hanya melibatkan jawatan Perdana Menteri dan tidak membabitkan ketua menteri atau menteri besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Anwar berkata, RUU itu antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.

Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) telah melaksanakan pelbagai kajian sebelum RUU itu dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat akan datang.

Katanya, satu pertemuan khas bersama ketua-ketua parti akan diadakan dalam masa terdekat susulan pindaan RUU itu.

Katanya, beliau akan bertemu dengan ketua-ketua parti sebelum sidang bermula akhir bulan ini.

“Saya kena berhadapan dengan semua ketua-ketua parti supaya kita dapat lebih daripada dua pertiga (majoriti).

“(Perdana Menteri) baru sebut tadi (berkenaan RUU ini), insya-Allah saya akan buat (perjumpaan) dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Azalina berkata, tiga lagi RUU yang akan dibentangkan tahun ini adalah pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penubuhan ombudsman dan kebebasan maklumat (FOI).

Katanya, ia akan dibentangkan Februari ini iaitu selepas perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong selesai.

Azalina berkata, BHEUU akan mengadakan konvensyen dan libat urus bagi mengumpulkan pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat, selain memberi kefahaman kepada rakyat mengenai RUU yang dibentang dan diluluskan oleh kerajaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN