Suri rumah jadi 'transporter' didakwa seludup 24 migran - Utusan Malaysia

Suri rumah jadi ‘transporter’ didakwa seludup 24 migran

UMI Kalsum Omar Noor Balasubramaniam (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini bagi dua pertuduhan menyeludup 24 migran warga Indonesia di Segari, Manjung awal bulan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seri Manjung di sini hari ini atas dua pertuduhan menyeludup 24 migran warga Indonesia di Segari, Manjung awal bulan ini.

Tertuduh, Umi Kalsum Omar Noor Balasubramaniam, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada lima anak itu didakwa menjalankan penyeludupan ke atas lapan lelaki dan seorang wanita Indonesia di tepi jalan Batu 11 Segari, dalam daerah Manjung pada pukul 3.30 pagi, 4 April 2026.

Wanita itu yang dituduh mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 itu turut didakwa menyeludup 11 lelaki dan empat wanita Indonesia di sebuah rumah bernombor 172, Jalan Segari, Batu 12 Segari, Manjung, pada pukul 4 pagi, tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd. Kohar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamad Zaidi Othman.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 22 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi pengurusan kes.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai penjaga rumah penampungan mengaku bersalah bagi dua pertuduhan menyeludup 10 lelaki dan lima wanita warga Indonesia pada 4 April lalu.

Tertuduh, Theodurus Seran, 30, yang patah kaki kanan itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyeludup tujuh dan lapan migran masing-masing pada pukul 5.10 pagi di tepi jalan menghala kawasan Baru Hilal, Batu 11 Segari dan di rumah bernombor 172, Jalan Segari, Batu 12 Segari, Manjung, pada pukul 4 pagi, tarikh yang sama.

Dia yang dituduh di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 tidak diwakili peguam bela.

Hakim Azizah kemudian menetapkan tarikh yang sama iaitu 22 Mei depan untuk tarikh sebutan semula kes tertuduh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN