Solidariti untuk Dara, Amoi dan Kelat di Dataran Zoo Taiping - Utusan Malaysia

Solidariti untuk Dara, Amoi dan Kelat di Dataran Zoo Taiping

NEOW CHOO SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Satu himpunan solidariti akan diadakan di Dataran Zoo Taiping pada 9 Mei depan bagi menyatakan pendirian dan tuntutan rakyat yang prihatin terhadap nasib tiga ekor gajah Malaysia yang kini ditempatkan di zoo di Jepun.

Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong berkata, Pemuda BN akan  menubuhkan Sekretariat Solidariti Bersama tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK).

Menurutnya, sekretariat itu sebagai platform penyelarasan advokasi, kesedaran awam dan tindakan berterusan dalam mempertahankan kebajikan haiwan serta memastikan layanan yang lebih berperikemanusiaan terhadap hidupan liar tersebut.

“Sebagai langkah permulaan, Himpunan Solidariti Bersama DAK akan diadakan di Dataran Zoo Taiping pada 9 Mei depan pukul 10 pagi.

“Dalam himpunan tersebut, satu memorandum rasmi akan diserahkan kepada Pengarah Zoo Taiping bagi menyatakan pendirian dan tuntutan rakyat yang prihatin terhadap nasib Dara, Amoi dan Kelat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Choo Seong yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA berkata, pihaknya menyambut baik gesaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) segera memulakan rundingan dengan Tennoji Zoo Osaka (ZTO) bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah Malaysia itu.

“Pemuda BN mengajak orang ramai bersama-sama memperjuangkan isu ini dan memastikan DAK dapat dibawa pulang ke Malaysia dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, sebuah video tentang pelancong Malaysia yang melawat Zoo Tennoji di Osaka, Jepun tular dan menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan gajah tersebut serta habitatnya yang tidak memuaskan.

Amoi berusia sembilan tahun, Dara (14) dan Kelat (20) dipindahkan ke Zoo Tennoji sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.

Sebelum ini, Wan Rosdy menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari mengambil tindakan segera membawa pulang tiga gajah Malaysia itu yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

Wan Rosdy berkata, ketiga-tiga gajah itu wajar dibawa pulang dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat serta keperluan semula jadi haiwan berkenaan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN