PARIT BUNTAR: Sokongan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu dilihat semakin menunjukkan kecenderungan kepada Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkembangan itu didorong oleh keresahan rakyat terhadap pendekatan dan dasar kerajaan sedia ada, termasuk kegagalan mewujudkan peluang pekerjaan serta merangka dasar ekonomi baharu yang lebih berkesan dalam menghadapi cabaran semasa.
Menurutnya, Bersatu sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) akan terus memperkukuh pendekatan sebagai parti yang sederhana, inklusif dan progresif dalam usaha menarik sokongan semua kaum, termasuk masyarakat bukan Melayu.
“Bersatu komited untuk menawarkan dasar-dasar yang prihatin kepada rakyat, mengangkat martabat umat dan memakmurkan negara,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia semasa menghadiri majlis perkahwinan anak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri di sini hari ini.
Mohamed Azmin berkata, dalam suasana politik negara dan dunia yang semakin mencabar, rakyat memerlukan kepimpinan yang kuat, jujur dan ikhlas, selain kerajaan yang stabil serta berkesan dalam menyelesaikan isu-isu rakyat.
Tegasnya, pengalaman PN ketika mentadbir negara di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan keupayaan gabungan itu dalam mengurus negara, khususnya ketika berdepan krisis.
“Ketika diberi tanggungjawab, kita meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan, termasuk memastikan keselamatan nyawa dan kestabilan ekonomi,” jelasnya.
Katanya, perkara itu menjadi antara asas keyakinan rakyat hari ini, terutama dalam kalangan generasi muda yang mahukan sebuah kerajaan yang lebih prihatin dan berjiwa rakyat.
Tambahnya, Bersatu akan terus memperkukuh sokongan pelbagai kaum bagi memastikan PN mampu menawarkan alternatif kepimpinan yang stabil, berwibawa dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. – UTUSAN










