JOHOR BAHRU: Sindiket memproses air ketum yang telah beroperasi sejak lebih setahun lalu tumpas apabila tiga individu termasuk dua wanita Indonesia ditahan dalam dua serbuan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, di sini, 27 Februari lalu.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, operasi tersebut menyaksikan 442.9 kilogram daun ketum dan 1,642.5 liter air ketum bernilai RM76,796 dirampas.
Katanya, ketiga-tiga individu berusia antara 28 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Kempas Denai, Johor, manakala lokasi kedua merupakan sebuah gudang tempat proses dan simpanan air ketum.
“Lelaki tempatan merupakan pengurus, manakala dua wanita Indonesia terbabit merupakan pekerja. Turut dirampas dalam operasi itu 200 tong gas, 50 tunku dapur, beberapa periuk dan lain-lain.
“Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 atas kesalahan menjual dan memproses cecair ketum. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Johor, di sini hari ini.
Tambah Aminul Izmeer, sindiket berkenaan dipercayai menjual bahan berkenaan dengan harga RM16 bagi setiap 1.5 liter air ketum, dengan menumpukan kepada pasaran tempatan khususnya sekitar negeri ini.
“Kami percaya pelanggan sindiket ini merupakan pelanggan tetap yang terdiri daripada warga tempatan,” katanya lanjut. – UTUSAN










