Setiap hari bank tekan kami untuk bayar hutang - Pengusaha bas

Setiap hari bank tekan kami untuk bayar hutang – Pengusaha Bas

KESEMUA pengusaha dan pemandu bas pada sidang akhbar mengenai rayuan subsidi diesel untuk bas persiaran di Dewan Beringin Taman Seri Gombak di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengusaha bas persiaran kini berdepan tekanan kewangan yang tinggi susulan peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel sehingga hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

Seorang pengusaha bas, D. Mogan berkata, beban komitmen bulanan yang tinggi termasuk bayaran pinjaman kenderaan menyebabkan mereka berada dalam keadaan terdesak.

“Setiap bulan saya perlu membayar kira-kira RM60,000 untuk empat buah bas yang masih dalam pembiayaan. Tetapi pendapatan bulanan tidak sampai RM20,000 kerana kekurangan pelanggan.

“Bayaran bulanan bagi sebuah bas mencecah RM18,000, belum termasuk gaji pemandu sekitar RM6,000 dan kos diesel yang kini meningkat sehingga dua kali ganda.

“Dulu kos minyak sekitar RM9,000, sekarang sudah mencecah RM18,000. Kami benar-benar tidak tahu bagaimana untuk terus bertahan.

“Kami terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos, namun pelanggan pula tidak sanggup mengambil perkhidmatan pada kadar tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar berhubung rayuan subsidi diesel, hari ini.

Tambah Mogan, keadaan itu menyebabkan operasi perniagaan semakin tidak stabil, malah berdepan risiko tindakan daripada pihak institusi kewangan.

Sehubungan itu, beliau merayu agar kerajaan segera campur tangan bagi membantu industri tersebut, termasuk mempertimbangkan pemberian subsidi diesel.

“Kalau kerajaan dapat beri subsidi diesel sebanyak 6,000 liter untuk bas, sekurang-kurangnya kami masih boleh bernafas dan meneruskan operasi.

“Jika tiada bantuan segera, saya sendiri mungkin hanya mampu bertahan dua minggu atau sebulan sebelum terpaksa menyerahkan kenderaan kepada pihak kredit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN