Seminggu arwah meragam sebelum lemas

Seminggu arwah meragam sebelum lemas 

NURUL Hidayah Othman tidak dapat menahan sebak ketika ke lokasi penemuan anak bongsunya yang lemas di kolam takungan di PPR Taman Nagasari, Kepala Batas di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Bapa kanak-kanak autistik yang ditemukan lemas dalam kolam takungan semalam tidak menyangka sikap anaknya yang sering mengamuk dan menangis sejak seminggu lepas menjadi petanda kematiannya.

Suraidi Shaari, 50, berkata, perubahan Mya Khadeeja, 6, turut disedari oleh isteri, Nurul Hidayah Othman, 43, namun menganggap ia kebiasaan dalam spektrum autisme.

“Seminggu sebelum kejadian arwah sering tantrum dan menangis siang malam tidak seperti sebelum ini cuma pada situasi tertentu sahaja dia jadi macam itu. Walaupun autisme arwah tidak menyusahkan siapa termasuk kakak dan abangnya kerana gemar bermain sendirian.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya walaupun masih sukar menerima bahawa Mya sudah tiada lagi,” katanya ketika ditemui di Taman Nagasari, Jitra di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan kanak-kanak perempuan lima tahun dalam spektrum autisme ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kolam takungan di kawasan PPR Taman Nagasari di Kepala Batas.

Menurut Suraidi yang bekerja sendiri, anak bongsunya itu disyaki keluar rumah setelah pintu pagar dibuka oleh anak lelaki berusia 10 tahun yang juga seorang autistik.

“Saya rasa arwah keluar setelah ternampak orang berjalan di luar dan ikut mereka kerana dia tak berani keluar sendirian. Apabila menyedari kehilangannya saya berusaha mencari sehingga tengah hari sebelum membuat laporan polis, kemudian saya teruskan pencarian sehingga dia ditemui pada pukul 4.10 petang,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian mengejut anak istimewa itu, apatah lagi arwah meninggal dunia pada hari Jumaat dan lemas. InsyaAllah satu pengakhiran yang baik untuk anak saya,” katanya.

Katanya, jenazah Mya Khadeeja dikebumikan di Kampung Pantai Halban, di sini kira-kira pukul 11.30 malam tadi setelah urusan bedah siasat selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Rahim berkata, bedah siasat ke atas jenazah mendapati kanak-kanak tersebut meninggal dunia akibat lemas.

“Hasil siasatan pihak forensik mendapati tiada kesan kecederaan akibat perbuatan manusia ke atasnya,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN