Seleweng RM230 juta: 11 saksi dipanggil, 40 saksi dalam radar SPRM

Seleweng RM230 juta: 11 saksi dipanggil, 40 saksi dalam radar SPRM

CAPTION: AZAM Baki ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Padang Lebar, Kuala Pilah, hari ini.- UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti lebih 40 saksi bagi memberikan keterangan berhubung kes penyelewengan dana mencecah RM230 juta membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, daripada jumlah itu, seramai 11 orang saksi telah dipanggil bagi merakam percakapan berhubung kes tersebut.

Menurutnya, 40 saksi lagi telah berada dalam radar pihaknya dan akan dipanggil secara berperingkat.

“Kita sedang menyiasat kes ini dan ada lebih kurang 40 saksi dalam radar kami untuk dipanggil bagi membantu siasatan.

“Seperti mana saya pernah sebut semalam, isu ini bukan tentang penyalahgunaan duit zakat, tapi daripada siasatan yang kita jalankan, mereka ini merupakan sebuah NGO yang mendapat komisen dalam mengutip sumbangan daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui di sini.

Azam berkata, siasatan mendapati 60 peratus merupakan daripada kutipan sumbangan manakala hanya 40 peratus diberikan kepada pihak yang memohon mereka untuk membuat kutipan berkenaan sebelum diseleweng bagi kegunaan peribadi.

“Jadi mana-mana harta dan wang sekiranya didapati dari sumber tidak sah, kami akan terus bekukan untuk mengenal pasti adakah itu wang mereka atau pun wang yang telah diselindungkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azam berkata, bagi kes penyelewengan RM12.3 juta di Nilai, yang melibatkan seorang pendakwah bebas berusia lingkungan 30-an itu, seramai 15 saksi telah dirakam percakapan, manakala 14 saksi sudah berada di dalam radar dan akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya akan membuat permohonan reman yang baru susulan tempoh remannya akan tamat esok.

Azam berkata, siasatan kedua-dua kes mungkin mengambil sedikit masa berikutan keperluan mendapatkan dokumen perbankan lama antara tahun 2018 hingga 2022.

“Kedua-dua kes ini, selain daripada kita membuka kertas siasatan untuk melihat kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, kita juga melihat pada kesalahan di bawah Seksyen 403 iaitu secara jenayah menggunakan harta secara curang.

“Kita juga melihat kesalahan pecah amanah dan telah membuka fail kesalahan pengubahan wang haram bagi kedua-dua kes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN