PETALING JAYA: Sebuah kapal sokongan luar pesisir (OSV) milik Shapadu Group yang mengalami gangguan teknikal kini dipantau rapi dengan penilaian teknikal sedang dilaksanakan sebelum kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, setakat ini tahap keselamatan dan kebajikan semua anak kapal berada dalam keadaan baik.
“Keadaan kru adalah selamat dan akan terus dipantau dari semasa ke semasa.
“Paling penting semua krew kita mempunyai ketahanan dalam mengurus dan berdepan segala cabaran pelayaran dalam situasi yang cukup mencabar,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Terdahulu, kapal Ocean Thunder milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang membawa muatan bahan api dan melepasi Selat Hormuz susulan konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran tiba di pelabuhan Pengerang, Kota Tinggi dekat sini pada pukul 7.37 malam kelmarin.
Kapal Ocean Thunder ialah kapal Malaysia pertama yang tiba di negara ini selepas melepasi selat tersebut, manakala kapal kedua Serifos dijangka tiba minggu depan.
Dalam pada itu Ikmal Azam Thanaraj berkata, semua pihak termasuk pemain industri dalam sektor maritim akan menyelaras segala usaha bagi memastikan isu kapal yang masih terkandas di Selat Hormuz dapat diselesaikan secara baik.
Malah katanya, sebarang penyelesaian akan dilaksanakan berteraskan keselamatan kru, pelayaran selamat serta pematuhan teknikal.
“Kapal juga perlu berada dalam keadaan layak belayar sepenuhnya sebelum dibenarkan meneruskan transit, di samping memastikan kepentingan maritim negara terus dilindungi,” ujarnya. – UTUSAN










