‘Sekelip mata hilang sumber rezeki’

‘Sekelip mata hilang sumber rezeki’

BEKAS pekerja sebuah kilang berkumpul menuntut majikan membayar tunggakan gaji dan pampasan selepas menerima notis pemberhentian kerja pada 18 April lalu di Bukit Keteri, Padang Besar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kira-kira 107 bekas pekerja sebuah kilang di Bukit Keteri di sini menuntut majikan mereka membayar tunggakan gaji dan pampasan selepas mendakwa diberikan notis 24 jam pemberhentian pada 18 April lalu.

Mereka mendakwa alasan diberhentikan kerja tersebut kerana kilang membuat tikar getah itu terpaksa menutup operasi ekoran sudah tidak mampu menanggung kerugian berterusan kesan daripada banjir besar pada November tahun lalu.

Seorang bekas pekerja, Aziran Ahmad,47, yang lebih 16 tahun bekerja di kilang berkenaan berkata, pemberhentian kerja itu menyebabkan kesemua mereka hilang sumber rezeki.

Katanya, kilang berkenaan mula berdepan masalah khususnya selepas banjir baru-baru ini selepas banyak mesin mengalami kerosakan namun kekal bertahan beroperasi ketika itu.

“Kami menerima notis berhenti kerja pada 18 April lalu apabila kilang mendakwa terpaksa menutup operasi. Dalam sekelip mata, kami hilang sumber rezeki selepas berbelas tahun bekerja di kilang berkenaan.

“Pihak kilang ada memberi jaminan untuk mencari duit bagi membayar tunggakan gaji namun sehingga kini masih menyepi. Kami sangat berharap majikan dapat membayar segera tunggakan gaji dan pampasan atau faedah penamatan kerja itu.

“Kini, saya dan kebanyakan bekas pekerja lain terpaksa menggangur dan masih tidak mendapat pekerjaan lain yang sekali gus menyebabkan kami buntu dalam mencari pendapatan menampung kehidupan seharian keluarga.

“Sekurang-kurang jika dapat tunggakan gaji dan pampasan selepas berbelas tahun bekerja mampu memberikan kami sedikit kelegaan sebelum mendapat pekerjaan lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun yang turun padang bagi mendengar keluhan bekas pekerja kilang berkenaan memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin bagi membantu menyelesaikan isu tersebut demi kebajikan mereka.

Haziq berkata, isu berkenaan bakal dibawa di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan difahamkan ia turut akan diketengahkan pada mesyuarat Exco kerajaan negeri.

“Kita juga mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak kilang yang perlu mengambil tanggungjawab terhadap kebajikan dan hak para pekerja kilang tersebut.

“Kes ini akan dipanjangkan ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) jika pihak kilang tidak menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN