Sasaran 7 juta pelancong sempena TMK 2025 tercapai

Sasaran 7 juta pelancong sempena TMK 2025 tercapai

MENARA setinggi 165.5 meter ini bukan sahaja berfungsi sebagai menara telekomunikasi, malah menjadi tarikan pelancongan utama sejak dibuka kepada umum pada tahun 1997. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sasaran kerajaan negeri untuk meraih kedatangan tujuh juta pelancong sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 berjaya dicapai sekali gus mengukuhkan prestasi sektor pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, pencapaian itu disokong data kemasukan pelawat di lokasi pelancongan utama, pintu sempadan serta rekod pergerakan di lapangan terbang.

Katanya, kejayaan tersebut turut diterjemahkan kepada potensi impak ekonomi yang dianggarkan antara RM4.9 bilion hingga RM7 bilion melalui perbelanjaan pelancong.

“Dengan kehadiran sekitar tujuh juta pelancong, sektor pelancongan negeri berupaya menjana limpahan ekonomi yang besar kepada pelbagai pihak. 

“Perbelanjaan ini memberi limpahan ekonomi yang luas kepada pelbagai pihak termasuk pengusaha hotel, inap desa, peniaga kecil, pengusaha produk tempatan serta pemain industri pelancongan di seluruh negeri,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat ke-15 di sini, hari ini.

Selain itu, isu peruntukan pelancongan menjadi perhatian pada Persidangan DUN Kedah apabila timbul persoalan berhubung dakwaan dana RM7 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd. Nasir Idris.

Bagaimanapun, Mohd Salleh menafikan kewujudan peruntukan berjumlah RM7 juta seperti didakwa.

“Sebenarnya saya hairan juga kalau ada peruntukan RM7 juta daripada Kerajaan Persekutuan. Setakat yang kita maklum, kerajaan negeri hanya menerima RM3 juta, selain tambahan RM1.25 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tahun lalu,” katanya.

Beliau turut mencabar pihak yang membuat dakwaan tersebut supaya mengemukakan bukti, sambil menegaskan tiada penyelewengan dalam pengurusan dana pelancongan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN