GEORGE TOWN: Pelancong dijangka beralih kepada destinasi alternatif seperti Asia, Eropah, China dan Australia susulan konflik di Asia Barat, sekali gus tidak menjejaskan sasaran jualan RM30 juta sempena penganjuran Matta Fair 2026 di Pulau Pinang.
Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Pulau Pinang, Carolyn Leong berkata, sasaran itu menunjukkan peningkatan RM5 juta berbanding RM25 juta dicatatkan pada edisi tahun lalu, didorong permintaan stabil terhadap pakej pelancongan antarabangsa dan domestik.
Katanya sasaran berkenaan realistik menerusi peningkatan penyertaan dan sokongan daripada pelbagai pihak industri pelancongan termasuk syarikat penerbangan.
“Kami yakin situasi di Asia Barat (konflik) tidak menjejaskan sasaran jualan secara keseluruhan. Sekiranya destinasi Asia Barat kurang mendapat sambutan, maka, pelancong boleh beralih ke destinasi lain,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai. MATTA Fair pada tahun ini akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 25 hingga 26 April ini di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC).
Carolyn menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran acara berkenaan menerusi promosi agresif daripada syarikat penerbangan, khususnya Malaysia Airlines yang bertindak sebagai syarikat penerbangan rasmi.
“Pihak syarikat penerbangan menawarkan pelbagai promosi dan pakej menarik ke destinasi domestik dan antarabangsa dijangka menarik minat pengungjung,” katanya.
MATTA melibatkan 320 reruai dengan 90 pempamer membabitkan 55 peratus pempamer antarabangsa manakala selebihnya pemain industri pelancongan domestik.
Peningkatan penyertaan domestik turut dipacu usaha menggalakkan promosi pelancongan tempatan dan kadar sewaan reruai yang berpatutan kepada ahli.
China dijangka menjadi antara destinasi paling popular berikutan peningkatan penerbangan terus dan tawaran pakej pelancongan kompetitif.
Sementara itu, hanya Taiwan tampil sebagai penaja rasmi agensi pelancongan asing tahun ini, manakala destinasi lain diwakili ejen pelancongan masing-masing.-UTUSAN










