Sanusi bidas Nurul Izzah isu konvoi bazir petrol

Sanusi bidas Nurul Izzah isu konvoi bazir petrol

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membidas kritikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang menyifatkan penganjuran konvoi motosikal Perikatan Nasional (PN) sebagai pembaziran petrol ketika dunia berdepan krisis tenaga.

Muhammad Sanusi yang juga Bendahari Agung PN berkata, dakwaan pembaziran adalah tidak berasas kerana peserta konvoi menggunakan wang sendiri untuk mengisi minyak, bukannya dibiayai kerajaan.

Katanya, penggunaan petrol bersubsidi oleh rakyat bukan perkara baharu kerana dasar itu sudah lama dilaksanakan.

“Dia kata guna duit minyak subsidi. Minyak subsidi ini bukan baru, dia tak lahir lagi pun minyak subsidi dah ada. Subsidi minyak mula diperkenalkan sekitar tahun 1983 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Dari dulu orang guna minyak subsidi sampai sekarang. Bukan zaman Madani ini sahaja, janganlah perasan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) Kedah di sini, semalam.

Terdahulu, Nurul Izzah mendakwa, tindakan PN menganjurkan konvoi bermotosikal pada Sabtu lalu ketika dunia berhadapan krisis tenaga sebagai pembaziran besar-besaran.

Beliau berkata, kerajaan di seluruh dunia sedang bertindak menangani krisis bahan api dengan menjimatkan penggunaan, membina simpanan dan mempersiapkan ekonomi masing-masing menghadapi ketidaktentuan berpanjangan.

Muhammad Sanusi turut menyindir pihak yang mengkritik konvoi tersebut dengan membandingkan penggunaan bahan api antara motosikal dengan kenderaan lain seperti helikopter.

“Minyak motor satu kilometer berapa sen sahaja. Helikopter pula berapa belas ribu, kalau orang mula banding perkara itu nanti hang pening,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN