NIBONG TEBAL : Sebelas warga Indonesia termasuk dua wanita berusia antara 27 hingga 44 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung lima kejadian samun menggunakan parang di sekitar Pulau Pinang.
Perintah reman yang bermula hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Ainna Ahmad bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua sebelas suspek yang diiringi oleh anggota polis tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Jawi di sini dengan memakai baju lokap dan dalam keadaan tangan yang bergari.
Difahamkan, tiga daripada suspek tersebut ditahan di Sungai Bakap di sini manakala tiga lagi ditahan di Simpang Ampat. Baki lima suspek pula ditahan di Ipoh, Perak kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi.
Dalam kejadian terbaharu kira-kira pukul 1.30 pagi di sini semalam, mangsa yang juga merupakan pekerja warga asing mendakwa telah diugut serta diikat kedua kaki dan tangan dengan menggunakan pengikat kabel oleh enam lelaki bertopeng yang bersenjatakan pisau dan parang.
Akibat kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami kerugian melebihi RM35,000 apabila pelbagai barangan berharga miliknya dilarikan termasuk telefon bimbit, rantai dan subang emas selain kehilangan wang tunai berjumlah RM7,190.-UTUSAN










