PETALING JAYA: Wanita yang dipercayai adik kepada pelakon, Que Haidar, iaitu Tengku Dayangku Nazira, tampil memberikan teguran kepada bekas isteri abangnya, Linda Jasmine, agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah.
Menurut Dayangku, sebagai ahli keluarga, mereka mempunyai batas kesabaran dan tidak teragak-agak untuk mendedahkan perkara sebenar berhubung punca perceraian tersebut.
“Saya tidak suka membuka aib orang. Namun, jika terpaksa, perkara itu boleh memalukan pihak berkenaan sehingga tidak sanggup berdepan dengan media. Kesabaran seseorang itu ada batasnya, jadi berpada-padalah dalam mengeluarkan kenyataan.
“Saya bersabar demi abang saya. Jika mengikutkan hati, sudah lama perkara sebenar didedahkan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Tambahnya, orang ramai tidak mudah diperdaya dan kebenaran akan terbongkar juga suatu hari nanti.
“Jangan risau, orang tidak bodoh. Cepat atau lambat, semua akan tahu siapa yang benar dan siapa yang sebaliknya.
“Jika tidak mengetahui perkara sebenar, lebih baik berdiam diri daripada menyebarkan fitnah yang boleh menyakiti orang lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dayangku turut menyampaikan sindiran berbaur sinis kepada bekas kakak iparnya itu kerana mencetuskan spekulasi terhadap keluarganya.
“Kepada pihak yang menyebarkan fitnah, bersedialah untuk menjawab di akhirat. Berhati-hatilah.
“Kami sekeluarga melayan beliau dengan sebaiknya, namun tidak menyangka akan difitnah sedemikian.
“Terima kasih kepada bekas kakak ipar atas segala fitnah yang disebarkan. Semoga Allah membalasnya,” katanya.
Terdahulu, nama Que Haidar menjadi perhatian apabila bekas isterinya, Linda Jasmine, mendakwa keputusan untuk bercerai dibuat bagi melindungi anak-anak daripada unsur negatif.










