JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia dijangka akan terus membeli rumah kediaman baharu walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu susulan ketegangan di Asia Barat antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang masih berlarutan.
Pengarah Eksekutif BMG Group, Sakeri Maming berkata, trend pembelian rumah kediaman baharu akan berterusan walaupun pasaran bergerak agak perlahan berbanding tempoh sebelum konflik Asia Barat bermula.
Bagaimanapun katanya, pemaju hartanah tempatan perlu bijak menyusun strategi termasuklah menyasarkan pembinaan kediaman mampu milik berharga antara RM300,000 hingga RM500,000.
“Tidak dinafikan konflik Asia Barat turut menjejaskan pasaran hartanah di Malaysia, tetapi kediaman khususnya rumah mampu milik berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 masih terus mendapat permintaan ramai.
“Berdasarkan kajian yang kita buat, kediaman yang dijual pada harga berpatutan dengan fasiliti lengkap serta rekaan dan kemasan berkualiti mampu menarik minat pembeli,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pencapaian Projek Tampoi Heights, di sini hari ini.
Tambah Sukeri, pihaknya bagaimanapun berharap kerajaan akan terus menyediakan insentif dan pengenalan pelbagai dasar yang menyokong pemaju tempatan melaksanakan pembinaan baharu khususnya melibatkan rumah mampu milik.
“Saya percaya bukan sahaja pembeli tetapi juga pemaju perumahan akan melihat pergerakan pasaran ini dalam tempoh enam bulan akan datang sebelum sesuatu langkah diambil.
“Susulan itu, dasar-dasar kerajaan adalah penting untuk menyokong pemaju tempatan membina kediaman mampu milik baharu untuk memenuhi permintaan pasaran khususnya bagi golongan pertengahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi BMG Group, Loke Yan Wai pula memberitahu, golongan pembeli sudah semakin bijak untuk membezakan antara kediaman yang memenuhi keperluan atau kediaman yang memenuhi kehendak.
“Pembeli semakin cerdik, mereka akan buat perbandingan walaupun melibatkan hal-hal kecil seperti rekaan, kemasan, fasiliti, saiz, lokasi, harga dan lain-lain. Jadi pemaju perlu ada strategi untuk menambat pasaran tersebut,” katanya. – UTUSAN











