KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi insentif penggambaran filem di Malaysia atau Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk tempoh lima tahun akan datang dalam usaha menarik lebih banyak produksi antarabangsa ke negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peruntukan itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan industri perfileman tempatan.
Menurutnya, peruntukkan itu juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat seni dan tenaga kerja kreatif tempatan.
“Suntikan berkenaan juga dilihat mampu merangsang aktiviti ekonomi berkaitan industri kreatif termasuk perkhidmatan produksi, teknikal dan sokongan logistik.
“Langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan penggambaran di rantau ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Simposium Seniman 2026 di sini, hari ini.
Fahmi berkata, sebanyak RM10 juta turut diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui pelancaran Dana Citra yang akan memberi fokus kepada pembangunan kandungan berteraskan identiti nasional.
“Dana itu melibatkan pembangunan filem cereka, dokumentari dan filem pendek yang mampu mengangkat nilai serta jati diri Malaysia melalui karya tempatan.
“Kerajaan bukan sahaja mahu menarik pelaburan dan produksi luar, malah mahu memastikan pembangunan kandungan tempatan terus diberi perhatian secara seimbang,” katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta Finas untuk meneliti aspek hak cipta membabitkan para seniman susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini mampu menghasilkan video, suara dan gerakan badan yang mirip individu sebenar.
“Wajah dan suara artis merupakan aset utama yang perlu diberi perlindungan sewajarnya supaya tidak dieksploitasi sewenang-wenangnya pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN










