Rasuah: Penolong pegawai perancang bandar MBI didenda RM3,000 - Utusan Malaysia

Rasuah: Penolong pegawai perancang bandar MBI didenda RM3,000

SYED Nazarudin Syed Mohamed Taib (kiri) dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah menerima suapan RM2,000, dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penolong pegawai perancang bandar di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menerima suapan RM2,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Syed Nazarudin Syed Mohamed Taib, 53, juga berdepan hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mahkamah turut memerintahkan supaya wang tunai berjumlah RM2,000 yang merupakan barang kes dikembalikan kepada pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan penjawat awam iaitu penolong pegawai perancang bandar yang bertugas di Unit Penguatkuasaan Jabatan Perancang Bandar, MBI telah menerima wang tunai RM2,000 daripada Chong Yin Mei, 49.

Wang itu sebagai dorongan untuk melanjutkan tempoh pengosongan premis perniagaan lelaki terbabit yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 daripada dua bulan kepada setahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sebuah premis di Lorong Kuala Kangsar, Taman Merdeka Ipoh, dalam daerah Kinta pada pukul 5.30 petang, 22 Ogos 2024.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G. Nanthini manakala Syed Nazarudin tidak diwakili peguam.

Tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN