KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kepada Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkemungkinan sedang mendapat kifarah terhadap apa yang beliau lakukan selaku arkitek yang merangka strategi ‘Langkah Kajang’ lebih 10 tahun lalu.
Faekah Husin berkata, walaupun Rafizi itu tidak mengaku salah, sekurang-kurangnya kini beliau merasai apa yang dirasai bekas Menteri Besar Selangor itu ketika diketepikan oleh parti pada 2014 dahulu.
“Langkah Kajang memang jijik tetapi ia tidak akan terjadi seandainya tidak mendapat restu dari pucuk pimpinan dan sekiranya pucuk pimpinan bersifat adil serta jujur.
“Sejujurnya selepas Langkah Kajang saya tidak menghormati mahupun meletakkan harapan yang tinggi kepada Rafizi kerana Langkah Kajang merupakan titik tolak kepada pengkhianatan terhadap prinsip keadilan yang diperjuangkan PKR sejak penubuhannya pada 4 April 1999.
“Ia terlakar sebagai sejarah paling hitam di dalam politik dan pentadbiran negeri Selangor,” katanya hari ini.
Mengimbau kembali pemilihan parti pada tahun 2010, Faekah berkata, Almarhum telah diarah dan diugut supaya menarik diri dari pertandingan jawatan Timbalan Presiden bagi memberi laluan mudah kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Saya sebut di sini hanya untuk menunjukkan percaturan dan campur tangan secara jijik memang diamalkan di dalam PKR dan bukan suatu yang asing.
“Kifarah tidak berlaku kepada sesetengah orang sahaja, siapa tahu, mungkin selepas ini Nurul Izzah atau mungkin Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sendiri.
“Cuma bezanya Almarhum Tan Sri Khalid masih boleh menunjukkan serta mempertahankan kejayaan program dan polisi yang dilakukannya ketika mentadbir Selangor sebagai Menteri Besar,” katanya.
Sebaliknya, kata beliau, Rafizi tidak sempat pun membuat apa-apa yang signifikan dan mendatangkan kesan positif kepada rakyat.
“Kedudukan Rafizi sangat bergantung kepada langkah yang beliau ambil selepas ini; adakah dia akan tunduk dan akhirnya buat ‘deal’ dengan Anwar Ibrahim atau dia tetap berpegang kepada prinsip dia sekarang.
“Sebagaimana kebanyakan rakyat, saya mengambil sikap tunggu dan lihat,” katanya. – UTUSAN










