JOHOR BAHRU: Taktik dua premis urut dan refleksologi di daerah ini dikesan menawarkan perkhidmatan urut batin serendah RM80 bagi satu sesi untuk menarik pelanggan lelaki hidung belang terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, kelmarin.
Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, seramai 22 individu termasuk warga asing ditahan dalam Ops Gegar yang dijalankan pada pukul 3 petang itu kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.
Katanya, dua premis tersebut dipercayai menggajikan warga asing tanpa dokumen sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai tukang urut.
“Premis tersebut juga didakwa menawarkan pakej tertentu termasuk ‘perkhidmatan tambahan’ pada harga murah sebagai tarikan kepada pelanggan.
“Dalam serbuan berkenaan, seramai tujuh lelaki dan 14 wanita berusia antara 18 hingga 41 tahun ditahan melibatkan warganegara Myanmar dan China yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rusdi, turut diberkas seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis serta dalang utama dalam mengatur operasi dan pengambilan pekerja warga asing. – UTUSAN








